Pilih Bahasa

KBSS LANCAR DUA BUKU DALAM USAHA TINGKATKAN PEMBANGUNAN BELIA SABAH

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerbitkan dua buah berkaitan belia di negeri ini.

Dua buku berkenaan bertajuk Dasar Belia Sabah dan Pelan Strategik Pembangunan Belia Sabah 2016-2020.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong diiringi Menteri Belia dan Sukan Datuk Frankie Poon bersalaman dengan belia yang hadir pada majlis berkenaan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata penerbit dua buah buku berkenaan adalah salah satu usaha kementeriannya untuk mentranformasikan dapatan kajian kepada aplikasi dan kegunaan praktikal mengikut acuan Sabah.

Beliau berkata semua buka terbabit juga boleh dijadikan dokumen penting yang bakal menjadi sejarah kepada negeri itu sebagai sebuah dokumen yang didukung oleh semua lapisan masyarakat selain golongan belia.

“Penerbitan naskah ini juga akan memberikan manfaat terutamanya buat menggerakkan belia di Sabah dengan lebih dinamik dan berkesan.

“Data serta fakta yang terdapat dalam semua buku ini boleh digunapakai bagi merangka dan merancang aktiviti, program mahupun kegiatan yang bermanfaat kepada golongan belia.

“Ia secara tidak langsung turut boleh memperlihatkan impak positif kepada masyarakat secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Dasar Belia Sabah dan Buku Pelan Strategik Pembangunan Belia, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Jaujan Sambakong bagi mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Frankie berkata kementeriannya bersama kerajaan negeri sentiasa komited dalam menerajui aspirasi pemerkasaan pembangunan belia dan kecemerlangan sukan menerusi konsep rentas pelaksanaan serta strategi lautan biru (NBOS) demi memaju ke arah pencapaian visi belia perkasa dan atlet bertaraf dunia.

“Kita bermatlamat mewujudkan persekitaran kondusif serta mapan berpaksikan teras strategic pemerkasaan pembangunan belia termasuklah pengukuhan gerakan belia budaya berpersatuan,pemantapan ekosistem hak upaya persatuan, pembudayaan sukan massa, peningkatan sukan berprestasi tinggi dan pembangunan industri sukan,” katanya. –SabahNews Today