Pilih Bahasa

KBSS siap sedia anjur Saga Ke-9 di Keningau

Arunarnsin (depan dua kiri), Yusrie (tiga kiri), Asneh (dua kanan) dan Zakaria (kiri) semasa sesi temubual di Stadium Likas. – Gambar SNT/Ihsan MSN

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) siap sedia melaksanakan penganjuran Sukan Sabah (Saga) untuk edisi Ke-9 di Keningau pada tahun ini.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Arunarnsin Taib berkata dari segi teknikal kementerian itu telah bersiap sedia sepenuhnya dan akan dimulakan dengan perlawanan-perlawanan pusingan kelayakan pada 13-18 Ogos ini.

“Dari segi teknikal yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, kita telah bersedia sepenuhnya bukan sahaja untuk pusingan kelayakan yang akan berlangsung dua minggu dari sekarang, tetapi juga untuk kejohanan sebenar yang akan berlangsung di Keningau bermula 7-13 Disember.

“Saya percaya Keningau juga telah melakukan persiapan terbaik kerana ini merupakan kali kedua daerah itu bersama Tambunan, Tenom dan Nabawan menjadi tuan rumah selepas kali pertama pada tahun 2011,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menyaksikan perlawanan bola sepak bersempena Sukan Persahabatan KBSS-RTM 2019 yang berlangsung di Stadium Likas, Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) pada malam Khamis.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan negeri, Mohd Yusrie Abdullah; Pengarah MSN Sabah; Mohd Asneh Mohd Noor serta Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Zakaria Damit.

Terdahulu, Arunarnsin juga telah menyertai perlawanan persahabatan badminton seterusnya hadir menyaksikan perlawanan bola tampar dan bola jaring bersempena sukan persahabatan itu.

“Pusingan kelayakan akan melibatkan 27 daerah untuk memilih lapan daerah terbaik yang akan bertarung dalam perlawanan di Keningau nanti. Pusingan kelayakan berlangsung di enam zon iaitu Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Sandakan, Tawau, Pedalaman Atas dan Pedalaman Bawah.

“Sukan-sukan yang terlibat ialah bola jaring, bola keranjang lelaki, bola sepak lelaki dan wanita, bola tampar lelaki dan wanita, hoki lelaki dan wanita, serta sepak takraw lelaki dan wanita melibatkan acara berpasukan, regu dan `double’,” jelas beliau lagi.

“Di Saga Keningau nanti pula, 19 jenis sukan akan berlangsung iaitu badminton, berbasikal, bola jaring, bola keranjang, bola sepak, bola tampar, boling padang, golf, hoki, karate, memanah, muay, olahraga, pencak silat, ping pong, ragbi, sepak takraw, tenis dan tinju.

“Untuk keseluruhan, buat masa ini MSN Sabah merekodkan penyertaan 8996 orang atlet, dan selepas pusingan kelayakan, kira-kira 7077 orang atlet akan bertarung di temasya sebenar,” kata Arunarnsin. – SabahNewsToday