Pilih Bahasa

KDN cari dalang bantu PTI menyusup masuk ke negeri ini guna `laluan tikus’

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Azis (tengah) dan Darell (tujuh dari kiri) bersama para tetamu jemputan hadir pada majlis Gala Tahun Baharu Cina Parlimen Sepanggar di BSA Kolombong. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

INANAM: Dalang yang membantu pendatang tanpa izin (PTI) menyusup masuk ke negeri ini menerusi laluan `tikus’ akan disiasat dan jika didapati bersalah bakal dikenakan hukuman ebih berat oleh pihak berkuasa.

Amaran itu dilaungkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman bahawa pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana ia merupakan kesalahan yang serius.

“Berdasarkan laporan yang kita terima ada dalam kalangan tali barut ini adalah warga tempatan yang mengambil kesempatan kerana memikirkan soal wang.

“Kalau mengikut siasatan kita terhadap PTI yang ditahan dalam operasi semalam, mereka mengakui ada orang tempatan yang membawa mereka masuk melalui laluan-laluan tertentu.

“Kita akan buat risikan dan kalau boleh kalau boleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan imigresen bekerjasama rapat untuk pastikan kita cari dan tutup lubang `tikus’ ini, katanya ketika ditemui pada majlis Gala Tahun Baharu Cina Parlimen Sepanggar di BSA Kolombong di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri tetamu kehormat Ahli Parlimen Penampang merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Turut hadir Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman serta warga tua yang raikan selain 52 persatuan Cina yang dijemput pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Azis turut menempelak pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan tuduhan dengan mendakwa pihaknya melindungi PTI.

“Di kawasan saya semalam telah dibuat operasi.. kalau saya lindungi PTI saya akan pastikan (imigresen) jangan masuk kawasan saya tapi ini tidak, meskipun kawasan saya operasi tetap diteruskan.

“Saya akan pastikan operasi memburu PTI bukan wayang.. kita akan buktikan bahawa ini merupakan satu komitmen kerajaan untuk memastikan agar Sabah dapat kita banteras PTI,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Imigresen Sabah diminta memperhebatkan gerakan usaha membanteras PTI dengan menjalankan operasi berterusan di seluruh negeri ini.

Mohd Azis berkata beliau telah meletakkan sasaran pada tahun ini kepada imigresen untuk membuat mencapai jumlah 7,000 tangkapan PTI sepanjang 2020.

“7,000 sasaran mereka kena cari, mungkin lebih daripada itu tapi saya letakkan minimum tangkapan mesti dibuat PTI tidak boleh kurang daripada 7,000, kalau lebih itu pencapaian cemerlang,” ujarnya. – SabahNewsToday