Pilih Bahasa

KDNK Sabah catat peningkatan RM79.8 bilion bagi tempoh 2014 hingga 2017

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan akan meningkatkan lagi usaha untuk menggalakkan pemprosesan hiliran sumber asli untuk menjana pendapatan kerajaan dalam bentuk cukai serta mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat Sabah.

Sehubungan itu kerajaan komited untuk membangunkan sektor perindustrian dan mensasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah sebanyak 7.3 peratus (2017) kepada 35 peratus pada 2030.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau melawat pameran di ruang legar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Bagi tempoh 2014 hingga 2017 KDNK atau GDP Sabah meningkat daripada RM66.3 bilion pada 2014 kepada RM79.8 bilion pada 2017.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau berkata penyumbang terbesar KDNK Sabah ialah sektor perkhidmatan RM31.8 bilion (39.9 peratus) diikuti oleh perlombongan dan pengkuarian RM24.9 bilion (31.3 peratus).

“Sektor pertanian pula menyumbang RM14.9 bilion atau 18.7 peratus, pembuatan RM5.8 bilion (7.3 peratus) dan pembinaan pula RM1.9 bilion atau 2.4 peratus bagi tahun 2017.

“Di peringkat nasional dengan pendapatan per kapita sebanyak RM23,979 bagi negeri Sabah (Malaysia: RM42,228) Sabah menduduki tempat keempat dari bawah selepas Perlis, Kedah dan Kelantan,” katanya dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Phong Jin Zhe mengenai KDNK mengikut sektor negeri Sabah daripada 2014 hingga 2018.

Menjawab pertanyaan Adun Luyang itu sama ada sektor perindustrian dan pembuatan telah meningkat serta langkah diambil oleh kerajaan negeri untuk membolehkan perindustrian di Sabah berjaya dilakukan, Madius berkata sektor berkenaan tidak berkembang seperti diharapkan.

Madius yang juga Menteri Perindustrian dan Perdagangan berkata beliau terkilan dengan produktiviti industri itu yang lambat berkembang walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk membangunkan sektor itu.

Menurut Madius bagi tempoh 2014 hingga 2017, sumbangan sektor perindustrian kepada KDNK telah menurun daripada 8.6 peratus pada 2014 kepada 7.3 peratus pada 2017.

Katanya antara punca penurunan itu adalah kerana model perniagaan pembangunan taman-taman perindustrian tidak kondusif untuk pelabur manakala harga tanah bukan sahaja mahal tetapi juga kemudahan diperlukan oleh pelabur tidak disediakan dalam keadaan kurang memuaskan atau tidak mencukupi.

“Kos logistik yang tinggi juga menjadi antara penyebab. Ketika dasar kabotaj (dasar kabotaj diliberisasi bermula Jun 2009), kekurangan kargo kontena, kos pengangkutan yang tinggi disebabkan oleh keadaan jalan raya tidak baik dan ketiadaan pengangkutan alternatif seperti keretapi.

“Ketiadaan sistem jalan raya, kekurangan bekalan utiliti terutama bekalan kuasa elektrik dan air serta kelemahan mekanisme penyediaan infrastruktur, prasarana dan utiliti yang diperlukan terutama bagi kawasan yang dibangunkan untuk aktiviti perindustrian seperti taman perindustrian,” jelasnya.

Madius berkata perindustrian merupakan sektor yang terbukti mampu menggerakkan pertumbuhan ekonomi seperti yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

Tambahan pula katanya Sabah memiliki sumber asli yang banyak petroleum dan gas, perkayuan, minyak kelapa sawit dan tanaman pertanian lain. – SabahNewsToday