Pilih Bahasa

Kebajikan rakyat jadi tumpuan kerajaan – Madius

TENOM, 14 Jan (Bernama) — Kerajaan negeri Sabah memberikan tumpuan terhadap aspek meringankan beban dan memastikan rakyat memperoleh sumber pendapatan yang berterusan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Wilfred Madius Tangau berkata bagi memastikan ia tercapai, kerajaan negeri menggerakkan semua jentera yang ada dan bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan negeri yang ada.

Madius bersalaman dengan Rev Father Anthony Mikat di majlis rumah terbuka Krismas Upko Tenom. Gambar SNT/Ehsan Upko

Katanya dalam tempoh tujuh bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerajaan negeri baharu telah mengorak langkah dari segi perancangan yang harus dibuat dan banyak masa telah dikhususkan dalam perkara ini.

“Ini termasuk memperkukuhkan jentera, antaranya membabitkan hal-hal pelantikan pasukan baharu termasuk di kementerian dan agensi kerajaan negeri, ” katanya kepada Bernama selepas Majlis Rumah Terbuka Krismas Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun dan Murut Bersatu (UPKO) di sini, semalam.

Madius (kanan) berbincang sesuatu dengan Adun Kemabong Jamawi Jaafar (tengah) dan Ketua Upko Tenom Datuk Lucas Umbol (kiri). Gambar SNT/Ehsan Upko

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata di kementeriannya tumpuan diberikan dalam perancangan pelaburan domestik dan luar negara.

Katanya dalam menggalakkan pelaburan domestik dan luar negara, sudah tentu cabaran berkaitan dengan pekerja sama ada tempatan atau asing perlu ditangani.

Menurutnya di pihak industri keperluan pekerja sama ada tempatan atau asing itu sangat penting, namun cabaran yang berlaku adalah kerajaan berhadapan dengan pelbagai tohmahan, tuduhan dan salah faham daripada pihak tertentu.

Madius beramah-mesra dengan hadirin di rumah terbuka Krismas Upko Tenom. Gambar SNT/Ehsan Upko

Beliau berkata kementeriannya sedang dalam usaha secara menyeluruh untuk mengumpul data termasuk data industri serta yang berkaitan pekerja.

— BERNAMA