Pilih Bahasa

Kebangkitan Tambadau Sabah masih diharapkan – Peter

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah hanya perlu yakin dan memberi persembahan terbaik menentang Pahang di gelanggang Tok Gajah dalam saingan Piala Malaysia di Kuantan malam ini.

Walaupun, gagal mencipta sebarang mata selepas pusingan pertama selesai, Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony tetap mengharapkan kebangkitan pasukan Sabah.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

Beliau percaya skuad bimbingan Jelius Ating itu mampu memberikan persembahan lebih baik berbanding tiga perlawanan pertama pusingan pertama Kumpulan C.

“Kita sudah banyak kali menyaksikan persembahan baik pasukan musim ini. Jika dapat memberikan persembahan terbaik, saya yakin pasukan kita setanding dengan mana-mana pasukan dalam saingan ini.

“Bagaimanapun, kita belum melihat persembahan terbaik pasukan dalam saingan Piala Malaysia.

“Harap-harap ia berlaku esok (malam ini) kerana keadaan sudah semakin genting di mana hanya kemenangan dapat mengekalkan Sabah terus dalam persaingan ke pusingan seterusnya,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata barisan pemain bukan lagi isu kerana semua pemain sudah mendapat pendedahan dan pengalaman sehingga berjaya mengotakan sasaran naik ke Liga Super selaku juara Liga Premier musim ini.

“Saya yakin bahawa siapapun pemain yang disenaraikan mampu menggalas tugas sewajarnya dan saya percaya barisan jurulatih juga sudah ada strategi khas untuk meburu kemenangan malam esok (malam ini),” katanya.

Sabah kini di kedudukan tercorot di kalangan empat pasukan dalam Kumpulan C selepas kalah semua tiga perlawanan pertama pusingan pertama.

Mereka memulakan dua perlawanan pertama di tempat lawan dengan kekalahan 3-0 ditangan Perak dan kalah 1-2 kepada Pulau Pinang.

Sabah juga gagal memanfaatkan gelanggang sendiri apabila kecundang 1-2 ditangan Pahang minggu lalu.

Gol tunggal Sabah dijaringkan oleh penyerang import, Aguinaldo Mendes.

Menurut Jelius selepas perlawanan menentang Tok Gajah di Likas minggu lalu, anak didiknya “terlalu menghormati pasukan Pahang.”

Kumpulan C kini didahului Pahang dengan sembilan mata manakala Perak dan Pulau Pinang masing-masing telah mengumpul empat mata.

Barisan pemain Sabah yang mungkin diturunkan malam ini ialah Rozaimie Rohim, Park Tae Su, Rawilson Batuil, Evan Wensley Wenceslaus, Randy Baruh, Mohd Azizan Nordin, Mafry Balang, Alto Linus, Ricco Nigel Milus, Aguinaldo Mendes dan Rodoljub Paunovic.

Turut dalam senarai 18 pemain ialah Jenius Karib, Robson Rendy Rining, Mohd Azwan Abd Fattah, Mazlan Yahya, Ummareng Bacok dan Dendy Lowa.-SabahNewsToday