Pilih Bahasa

Kecekapan pengurusan kebersihan Hospital Tuaran wajar jadi contoh

Oleh Sabah News Today

TUARAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong menyeru jabatan serta agensi kerajaan di Sabah mencontohi tahap kecekapan dalam pengurusan serta kebersihan Hospital Tuaran.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata hospital ini adalah yang pertama menjadi penerima pengiktirafan Sijil Hospital Bebas Sampah.

Jaujan (duduk kanan) dan Pegarah Hospital Tuaran Dr Mohan (duduk dua kanan) bersama tetamu kehormat lain melihat rekaan jalur gemilang sempena sambutan kemerdekaan. Gambar SNT/Ihsan KKTP

“Selain kebersihan yang dicapai oleh hospital ini, saya juga tertarik dengan cara pengurusan yang teratur diamalkan di sini.

“Saya berpendapat hospital ini boleh menjadi contoh kepada semua hospital di Sabah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Hospital Bebas Sampah dan Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, Hospital Tuaran di sini, semalam.

Beliau berkata sijil pengiktirafan itu adalah pertama kali dilaksanakan kepada hospital dibawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) walaupun sebelum ini inisiatif sama pernah dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Jaujan berkata hospital berperanan memastikan masyarakat Sabah bersih dan bebas daripada pelbagai penyakit yang mengancam nyawa.

“Sijil yang diberikan ini adalah dilakukan di setiap daerah khusus kepada premis perniagaan, jabatan kerajaan dan sebagainya, ianya tidak hanya tertumpu kepada satu kawasan sahaja.

“Kerajaan juga tidak pernah menganaktirikan mana-mana hospital di Sabah khususnya dari segi kemudahan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Tuaran Dr G Mohan A/L A Gopal Naidoo berkata, pensijilan yang didapati itu mempunyai tiga tujuan utama, antaranya menyediakan suasana tempat kerja kondusif kepada kakitangan hospital.

Selain itu katanya, penting kepada hospital untuk mempunyai pandangan pertama yang baik daripada pesakit datang ke hospital berkenaan.

“Hospital sebagai organisasi kerajaan, kami ingin tunjukkan kemudahan yang disediakan berasaskan fasiliti utama dengan mentaliti kelas pertama.

“Kami inginkan imej hospital ini terbaik di mata antarabangsa,” katanya.-SabahNewsToday