Pilih Bahasa

Kedah, Kelantan setuju laksana PKPB

ALOR SETAR, 5 Mei — Kedah dan Kelantan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selaras dengan keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan PKPB bermula serta-merta selepas ditangguhkan sebelum ini bagi memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Persekutuan agar ia menepati keperluan di negeri itu.

Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir. Gambar Bernama

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga ada kuasa untuk buat sedikit penyesuaian mengikut keperluan setempat, jadi di Kedah kita putuskan premis makanan boleh beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam tetapi makan di kedai masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB.

“Sepanjang Ramadan ini, premis makanan orang Islam boleh beroperasi bermula 3 petang sehingga 8 malam dan untuk bungkus, pandu lalu dan penghantaran sahaja dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas COVID-19 di Wisma Darul Aman di sini hari ini. 

Beliau berkata bagi sektor peruncitan dan pemborongan, operasinya juga hanya dibenarkan bermula 8 pagi hingga 8 malam.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memutuskan untuk membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati melalui PKPB mulai 4 Mei.

Sementara itu, di KOTA BHARU, kerajaan negeri Kelantan memutuskan untuk melaksanakan PKPB bermula esok dengan 36 sektor ekonomi akan memulakan kembali operasi masing-masing mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata antara sektor ekonomi yang dibenarkan kembali beroperasi termasuk restoran, medan selera, pusat penjaja dan gerai makan tepi jalan yang beroperasi dari 3 petang hingga 6 petang pada bulan Ramadan, dan 7 pagi hingga 10 malam pada bulan biasa.

Selain itu, perkhidmatan dobi layan diri dibenarkan beroperasi dari 9 pagi hingga 6.30 petang dan sektor perhotelan dibenarkan dibuka 24 jam bagi premis penginapan namun operasi restoran hotel dibenarkan dari 6.30 pagi hingga 9 malam sahaja.

“Sektor awam pula akan beroperasi sepenuhnya bermula Jumaat ini (8 Mei),” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

— BERNAMA