Pilih Bahasa

KEDAI BELI BESI BURUK HAMPIR MUSNAH TERBAKAR DI BANTAYAN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Sebuah bengkel besi serta kedai membeli besi buruk hampir musnah dalam kebakaran di Kampung Bantayan, Jalan Minintod, Inanam, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, bengkel besi berkenaan terbakar 30 peratus manakala kedai membeli besi buruk mengalami kemusnahan sebanyak 40 peratus.

Anggota bomba sedang berusaha memadamkan api dalam kebakaran di Kampung Bantayan tadi. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berkaitan kebakaran berkenaan.

Pegawai Bomba Kanan Dua, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Laupen Nuar menyatakan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu menerusi talian kecemasan 999 pada jam 10.45 malam.

Laupen berkata beliau bersama sembilan anggota bergegas ke tempat kebakaran menggunakan dua buah jentera melalui tujuh kilometer jarak perjalanan daripada balai selain mendapat bantuan sebuah tanker daripada BBP Kota Kinabalu.

Kedai beli besi buruk dan bengkel besi terbakat di Kampung Bantayan. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Menurut beliau yang juga ketua operasi, pihaknya berjaya mengawal serta memadam kebakaran terbabit daripada terus membesar dan merebak pada jam 11.54 malam.

Laupen berkata operasi pemadaman kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 1.14 pagi tadi. -SabahNews Today