Pilih Bahasa

Kedai E&E: Pastikan SOP dipatuhi atau tidak dibenarkan masuk

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Gusar, risau, dan takut. Itulah perasaan yang ada pada seorang pekerja di sebuah kedai elektronik dan elektrik (E&E) di sini semasa melakukan imbasan suhu badan pelanggan yang memasuki kedai.

Lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Aldrine itu berkata perasaan itu timbul setiap kali dia berada di hadapan pintu masuk kedai di tempat kerjanya.

Aldrien bersama alat pengimbas suhu badan di pintu masuk tempat kerjanya di Karamunsing Capital. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kita tidak tahu siapa yang dijangkiti wabak Covid-19 itu. Sebagai langkah keselamatan kami (pekerja) dan pelanggan di sini, pemeriksaan suhu bahan adalah diwajibkan selain dari pemakaian topeng penutup hidung dan mulut.

“Saya juga akan memastikan setiap pelanggan yang sudah diimbas suhu badan akan diberikan cecair pembasi kuman sebelum memasuki premis. Penjarakan sosial juga kami amalkan di dalam kedai. Pelanggan yang tidak memakai penutup hidung dan mulut, saya tidak benarkan masuk,” katanya ketika ditemui di Karamunsing Capital, di sini, hari ini.

Menurut Aldrine, sebelum kedai memulakan operasi perniagaan, kesemua pekerja akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP).

Aldrien melakukan imbasan suhu badan seorang pelanggan di pintu masuk tempat kerjanya di Karamunsing Capital. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kami juga akan melakukan imbasan suhu badan sama seperti pelanggan. Ini bertujuan untuk memastikan kami juga tidak mempunyai gejala Covid-19.

“Sebaik tamat waktu operasi perniagaan, saya akan terus pulang rumah dan membersihkan diri sebelum meluangkan masa bersama keluarga di rumah,” katanya ketika ditemui.

Menurut pemilik kedai elektronik itu, David Ho, beliau bertanggungjawab untuk memastikan langkah pencegahan wabak ini diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Suasana didalam premis perniagaan barangan elektronik dan elektrik di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kami beroperasi tiga kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Waktu operasi kami bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang. Pengoperasian ini telah ditetapkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan sehingga 12 Mei nanti.

“Kami juga akan menetapkan hanya lapan hingga 10 pelanggan sahaja dibenarkan memasuki premis. Dan setiap mereka akan dihadkan masa untuk berada di dalam kedai selama 20 minit,” jelasnya.

Di Kota Kinabalu, hanya terdapat tiga kedai elektronik dan elektrik yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP iaitu di Inanam dan dua di Karamunsing. -SabahNewsToday