Pilih Bahasa

Kedai menjual perkakas terpilih dibenar beroperasi ikut had masa: SKN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Safar Untong

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Sabah Covid-19 Command Centre telah memutuskan untuk membenarkan kedai menjual perkakas beroperasi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata peniaga kedai berkenaan diberikan kebenaran beroperasi hanya dua kali seminggu iaitu setiap Selasa dan Khamis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kenyataan hari ini beliau memberitahu waktu operasi yang dibenarkan adalah pukul 9 pagi hingga 3 petang.

“Hanya tiga buah kedai menjual perkakas dibenarkan bagi daerah Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Keningau, Lahad Datu, Penampang, Tuaran, Beaufort, Ranau, Papar, Sipitang, Tenom dan Kudat.

“Bagi daerah lain, hanya dua buah kedai dibenarkan beroperasi,” katanya.

Menurut Safar, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan menentukan kedai menjual perkasas yang dibenarkan beroperasi di daerah masing-masing.

Katanya PBT akan menguatkuasakan pematuhan Tatacara Operasi Perniagaan seperti jarak sosial (social distancing) satu meter, menghadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa, tempoh masa berada di premis, penetapan satu pintu/laluan masuk dan satu pintu/laluan keluar.

Pematuhan tatacara lain ialah pengimbasan suhu badan dan mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung serta penggunaan pembersih tangan (hand sanitizer) kepada pelanggan dan pekerja. – SabahNewsToday