Pilih Bahasa

Kedai perabot, kenderaan musnah terbakar di Donggongon

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Sebuah kedai perabot dan Kenderaan utiliti sukan (SUV) musnah dalam kebakaran di pekan Donggongon, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.07 petang.

Kepulan asap menjulang tinggi dan api yang marak memusnahkan sebuah kedai perabot di pekan Donggongon, Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Seramai 33 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Kota Kinabalu dan Lintas dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati api sedang marak menyebabkan keseluruhan kedai itu dan sebuah kenderaan SUV terbakar.

Anggota bomba berusaha memadamkan api yang marak memusnahkan sebuah kedai perabot di pekan Donggongon, Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kebakaran berjaya dikawal jam 6.15 petang dan operasi memadam sisa kebakaran masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, api bermula dibahagian dinding stor iaitu tempat terletaknya suis utama.

Kebakaran turut memusnakan sebuah kenderaan SUV. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ketika itu menurut saksi, api belum besar dan saksi sempat memadam menggunakan alat pemadam api namun tidak berjaya. Ketika itu, semua lampu hidup.

“Menurut pemilik kedai perabot, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, premis berkenaan tidak beroperasi. Hanya seorang saja pekerja yang berada di kedai itu untuk menjaga,” katanya.

Anggota bomba berusaha memadamkan api yang marak memusnahkan sebuah kedai perabot di pekan Donggongon, Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Katanya lagi, operasi pemadaman bara-bara api masih dijalankan.

“Tiada mangsa yang dilapor cedera, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – SabahNewsToday