Pilih Bahasa

Kedai RM Mini Mart Tambunan dipecah masuk

Oleh Alfred Petrus

KENINGAU: Seorang lelaki dan dua perempuan disyaki terlibat dalam kes memecah masuk dan mencuri di sebuah kedai RM Mini Mart Toboh Tambunan berjaya diberkas Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata ketiga-tiga suspek yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 43 tahun itu ditahan di sebuah rumah sewa di Kampung Bulu Silou Keningau.

Shahrudin (dua kanan) menunjukkan besi kuku kambing yang dipercayai peralatan mencuri yang turut dirampas. Gambar SNT/Ihsan IPD Keningau

Katanya tangkapan tersebut dibuat selepas membuat siasatan lanjut yang mana terdapat dua cap jari berjaya ditemui di lokasi kejadian selain meneliti rakaman yang dibuat melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan.

Ketika tangkapan dibuat, pihak polis turut merampas 27 barang-barang di dalam bilik berkenaan yang disyaki barang curi, 34 barang kes di ruang tamu dan bahagian dapur rumah serta satu item di dalam kenderaan.

Antara barang kes yang dirampas. Gambar SNT/Ihsan IPD Keningau

Selain itu, dalam pemeriksaan lanjut yang dibuat juga turut merampas sebuah motosikal jenis Honda berwarna biru gelap dengan nombor pendaftaran disyaki palsu dan dan kenderaan jenis Perodua Kancil putih yang juga nombor pendaftaran disyaki dipalsukan.

Hasil pemeriksaan kenderaan tersebut mendapati, kedua-dua kenderaan terbabit pernah dilaporkan hilang pada 13 April dan 10 Mac tahun ini.

Sementara itu, dalam serbuat tersebut juga, pihak polis turut berjaya menjumpai lima paket serbuk putih disyaki syabu yang disimpan dalam beg berwarna merah milik tangkapan seorang lelaki itu.

Shahrudin (tengah) menunjukkan Perodua Kancil yang dirampas ketika serbuan. Gambar SNT/Ihsan IPD Keningau

Hasil saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati dua daripadanya positif dadah jenis syabu dan akan didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala, kesemua tangkapan ditahan di dalam lokap Balai Polis Keningau atas kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan.

Hasil siasatan lanjut, pada 12 Mei kira-kira pukul 1 petang, dengan bantuan Orang Kena Tahan (OKT) telah membawa pihak polis ke kawasan semak tepi sungai Kampung Sinsuron Tambunan dan menunjukkan barang-barang yang disyaki barang curi.

Terdahulu, pada 8 Mei, suspek telah memecah masuk kedai berkenaan kira-kira pukul 2 pagi dan membawa lari mesin duit, kotak simpanan rokok, mesin EB Bank Simpanan Nasional (BSN), kad tambah nilai, barangan kedai lain serta tiga buah telefon bimbit yang mana beranggaran RM10,300. -SabahNewsToday