Pilih Bahasa

Kedatangan pelancong ke Pulau Bohey Dulang, Semporna terus meningkat

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pulau Bohey Dulang, di Semporna, mencatatkan kedatangan pelancong seramai 109,595 orang sepanjang tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata berdasarkan statistik dikeluarkan Taman-Taman Sabah, jumlah berkenaan meliputi seramai 85,038 orang adalah pelancong antarabangsa manakala 24,557 pelancong tempatan.

Datuk Christina Liew bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick (tengah) dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony (kiri) sebelum sidang bermula. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Tempoh enam bulan pertama pada tahun ini pula menunjukkan jumlah ketibaan pelawat ke pulau berkenaan adalah seramai 60,013 orang iaitu  34,204 pelawat antarabangsa dan 16,809 orang pelacong tempatan.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12.2 peratus berbanding dengan tempoh sama pada tahun  lalu namun statistik ketibaan pelawat tidak direkodkan mengikut setiap daerah di negeri ini.

“Hal ini disebabkan data yang diperoleh adalah berdasarkan kepada data Jabatan Imigresen yang dikumpul melalui pintu masuk utama ke negeri ini.

“Bagaimanapun, jumlah kedatangan pelancong ke destinasi pelancongan utama di sesebuah daerah boleh dijadikan indikasi kepada kemasukan pelawat ke daerah terbabit,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dekat sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan berapa jumlah pelancong yang melawat ke Semporna bagi tahun ini dan tahun lalu serta apakah kesan impak kepada ketibaan pelancong ke Sabah terutama ke Semporna akibat insiden kematian dua penyelam pelancong dari China di Pulau Kulapuan, Semporna, pada Julai lalu.

Dalam pada itu, Christina berkata insiden kematian dua penyelam dari China dan seorang pengajar selam skuba tempatan akibat bom ikan hanya memberi impak minimum ketibaan pelancong ke Sabah khususnya Semporna.

Beliau berkata bagaimanapun bagi memastikan momentum kemasukkan pelancong ke negeri berkenaan terutamanya Semporna dan Tawau berterusan, kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah sudah merangka serta melaksanakan pelbagai strategi untuk menarik pelancong China.

“Salah satu langkah diambil termasuklah  aktiviti lawatan suai kenal bagi agensi pelancongan dari Hong Kong dan Macau. Selain memperkenalkan produk pelancongan Sabah kepada pelancong China melalui rangkaian media sosial seperti WeChat dalam bahasa Cina,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abidin apakah status penyiasatan yang diambil oleh kementeriannya berhubung insiden berkenaam, Christina berkata satu jawatankuasa sudah ditubuhkan bagi membantu keluarga mangsa dari China dan pihak kementerian kini menunggu laporan polis sebelum mengambil tindakan ke atas pelaku.-SabahNews Today