Pilih Bahasa

Kedudukan kewangan negeri bertambah kukuh: Tun Juhar

Oleh Alfred Petrus

Ketibaan Tun Juhar diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta beberapa pemimpin kanan negeri di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambat SNT/Mohd Adam Arinin

KINABALU: Kedudukan kewangan negeri kini bertambah kukuh seiring dengan kawalan dan disiplin dalam pengurusan kewangan kerajaan.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata ia termasuk pelaksanaan usaha dalam mengutip hasil tertunggak dan penerokaan sumber-sumber pendapatn baharu negeri.

“Seperti yang kita sedia maklum, pelaksanaan program pembangunan memerlukan sumber pembiayaan yang kukuh dan mencukupi. 

“Oleh itu, inisiatif kerajaan mempelbagaikan sumber kutipan hasil dan meningkatkan lagi pendapatan merupakan satu langkah terpuji,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan Bersempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-15 di sini hari ini.

Juhar berkata Penyata Kewangan Negeri Sabah Tahun 2018 menunjukkan hasil kerajaan negeri telah meningkat sebanyak 6.99 peratus kepada RM4.2 bilion berbanding jumlah hasil tahun 2017 sebanyak RM3.9 bilion. 

Jelasnya kerajaan beriltizam untuk terus mengekalkan prestasi tersebut termasuk berusaha meningkatkan lagi pendapatan ke arah mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

“Kerajaan negeri menetapkan kutipan hasil tidak kurang daripada RM3 bilion setiap tahun dan RM4.3 bilion untuk 2019. 

“Dalam pada itu, kerajaan akan memainkan peranan aktif berkaitan usaha tuntutan peningkatan hasil royalti minyak untuk negeri.

“Selain itu, semakan semula kemberian khas yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan yang mana amaunnya tidak disemak atau berubah sejak 1973,” jelasnya. 

Menurutnya bagi memastikan matlamat dan strategi Bajet Negeri 2019 tercapai, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha-usaha meningkatkan lagi kecekapan pengurusan kewangan tahun semasa. 

Katanya ia dilakukan berlandaskan kepada dasar perbelanjaan berhemat dan berintegriti melalui penguatkuasaan ke atas pematuhan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan ke arah menangani masalah ketirisan, pembaziran dan pemborosan. – SabahNewsToday