Pilih Bahasa

Kehadiran ramai ahli bukti Umno Kinabatangan belum berkubur: Bung Moktar

SANDAKAN:  Kehadiran hampir tiga ribu orang perwakilan serta pemerhati ke mesyuarat perwakilan Umno Kinabatangan bukti sokongan rakyat khususnya Kinabatangan belum berkubur.

Tanpa mendabik dada Ketua Bahagiannya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kehadiran luar biasa ini membuktikan solidariti yang ditonjolkan oleh ahli  bukan sahaja melambangkan kekuatan parti malah menunjukkan Umno sudah bersedia  bangkit menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bung bersama Tajuddin (tengah) bersama ribuan perwakilan dan pemerhati yang hadir ke mesyuarat perwakilan tersebut. Gambar SNT/Ihsan Umno Kinabatangan

“Kehadiran luar biasa ini melambangkan kekuatan, solidariti dan sokongan padu rakyat terhadap Umno ma­lah menunjukkan Umno dapat menyesuaikan dengan keadaan semasa sekali gus menjadikan parti itu masih re­levan.

“Saya yakin perwakilan dan pemerhati yang hadir berbekalkan semangat, ini kerana dalam keadaan kita sebagai parti pembangkang tidak ada keistimewaan apalagi imbuhan yang kita janjikan namun mereka bersemangat  dan masih setia kepada perjuangan parti ” katanya

Menurut Bung walaupun dilaporkan di media beribu ahli Umno dibahagian itu telah meninggalkan Umno untuk menyertai parti lain namun laporan tersebut hanya spekulasi semata-mata dan apa yang jelas hanya pemimpin Umno tertentu sahaja menyertai lain lain parti dengan mengadaikan tindakan mereka demi kepentingan rakyat.

Bung menyampaikan cendera kenangan kepada Tajuddin (kanan) selepas merasmikan mesyuarat. Gambar SNT/Ihsan Umno Kinabatangan

Beliau yang juga Pengerusi Umno Sabah berkata demikian ketika menggulung perbahasan di akhir mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kinabatangan di Dewan Kegiatan Murid SMKJK Tiong Hua Sandakan Sabtu lepas.

Mesyuarat dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Haji Tajuddin Abdul Rahman.

Menurut Bung sokongan tidak berbelah bahagi rakyat khususnya ahli ahli Umno memberi satu kekuatan dan keyakinan baharu kepada pe­mimpin parti termasuk beliau sendiri untuk meneruskan perjuangan bagi mempastikan Parlimen Kinabatangan dipertahankan dan dua Dun Sukau dan Kuamut akan dirampas kembali pada PRU ke 15 akan datang.

Bung menambah rakyat mula sedar kerajaan PH dan Warisan telah gagal melaksanakan janji janji mereka dalam pru yang lalu.

“Ternyata kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Warisan tidak mampu mengurus negara dan rakyat, sudah 14 bulan memerintah tidak nampak kebaikan dan manfaat yang rakyat perolehi selain bebenan kos sara hidup semakin meningkat segala bantuan kepada golongan yang memerlukan ditiadakan,” katanya.-SabahNewsToday