Pilih Bahasa

Kejayaan BN perlihat kematangan rakyat: Mohamad Alamin

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KIMANIS: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin mengakui kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis memperlihatkan kedewasaan rakyat dalam membuat keputusan dalam pelbagai isu yang menghantui mereka.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin menang dengan majoriti 2,029 undi selepas memperoleh 12,706 undi mengalahkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Mohamad yang berterima kasih kepada kepimpinan negeri dan Pusat di atas kejayaan beliau itu berkata kemenangan tersebut juga adalah kejayaan bersama semua penyokongnya, bukannya peribadi semata-mata.

“Kememangan ini tanggungjawab berat sebagai bakal Ahli Parlimen. Bagaimanapun saya akan berusaha agar momentum kejayaan ini berterusan.

Keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kimanis diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Kimanis, Jupari @ Jupry Etok (kanan sekali). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya akan bertemu rakyat dan menyuarakan isu-isu rakyat diperingkat tertinggi kerajaan. Inilah keutamaan saya dalam memperjuangkan nasib rakyat khususnya di kawasan Kimanis,” katanya katanya dalam sidang media di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini, malam tadi.

Mohamad meraih 12,706 undi mengalahkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang yang mendapat 10,677 undi dalam PRK Parlimen Kimanis yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara BN dan Warisan.

Para penyokong BN yang berkumpul di pusat penjumlahan undi rasmi menyambut calon mereka Mohamad Alamin dengan sorakan gembira. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Begitupun Mohamad turut memuji lawannya itu kerana memperlihatkan kematangan berpolitik sepanjang kempen PRK.

“Sepanjang kempen kita sering bersemuka dan terserempak dengan beliau (Karim) dengan keadaan mesra juga. Tidak lupa terima kasih saya buat Datuk Seri Anifah Aman yang turut membantu BN,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata kemenangan BN itu menyerlahkan bekerjasama mereka sebagai satu pasukan dalam blok pembangkang.

“Kemenangan ini bermaksud kita (BN/Umno) sudah bersedia untuk berdepan dengan kerajaan hari ini iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Warisan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kita melihat rakyat sekarang susah dan nampaknya kerajaan sekarang ini seakan gagal melaksakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat Sabah,” ujarnya.

Keputusan rasmi di umumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Kimanis Jupari @Jupry Etok pada jam 9.30malam.

Jumlah peratusan pengundi ialah 79.92 peratus manakala undi rosak 320 dan lima kertas undi tidak dikembalikan.-SabahNewsToday