Pilih Bahasa

Kejohanan Golf Kadayan SeBorneo rapatkan hubungan sesama etnik

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Dr Yusof menunjukkan poster Kejohanan Golf Kadayan SeBorneo, Pertandingan Golf Amal dan Makan Malam Amal Paadian 2019 di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Kira-kira 120 pemain golf etnik Kadayan dijangkakan bakal menyertai Kejohanan Golf Kadayan SeBorneo 2019 pada 6 Julai depan.

Dianjurkan Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN), peserta terdiri daripada pemain golf dari dalam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan luar negara iaitu Brunei Darussalam.

Berlangsung di Sutera Harbour and Country Club, semua pemain akan dibahagikan kepada empat pasukan yang terdiri daripada 30 peserta setiap kumpulan yang membentuk pasukan bagi negeri, negara dan wilayah.

Presiden PAADIAN, Datuk Dr Yusof Yacob berkata kejohanan terbabit adalah salah satu aktiviti persatuan berkenaan sepanjang tahun ini selain penganjuran Golf Amal PAADIAN 2019 pada 14 September ini yang memasuki penganjuran kali kedua selepas tahun 2003.

“Kita juga menjangkakan Timbalan Ketua Menteri dan beberapa menteri Kabinet negeri, ketua jabatan, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan sama mengikuti program ini.

“Penganjuran semua acara golf ini bertujuan mengukuhkan lagi hubungan antara masyarakat dan persatuan sama ada daripada etnik Kadayan atau etnik lain yang ada di negeri ini selain mengisi dana persatuan bagi pelbagai tujuan aktiviti.

“Penyertaan bagi semua aktiviti tidak hanya terbuka kepada individu etnik Kadayan sahaja malahan kita mengalukan sesiapa sahaja mengikutinya,” katanya ketika sidang media Kejohanan Golf SeBorneo, Golf Amal dan Makan Malam Amal PAADIAN 2019, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAADIAN merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan Golf Kadayan Seborneo, Pertandingan Golf Amal dan Makan Malam Amal PAADIAN 2019, Osman Ahmed dan Naib Presidennya merangkap Setiausaha Jawatankuasa Induk, Ramlee Kariah.

Sementara itu, Yusof berkata Majlis Makan Malam Amal akan berlangsung pada sebelah malam sejurus selesai acara Golf Amal PAADIAN di Grand Ballroom, The Magellan Sutera.

Menurutnya, majlis malam itu dijangkakan akan dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selain persembahan hiburan daripada Ameng Spring serta penyanyi Indonesia, Nia Daniaty. – SabahNewsToday