Pilih Bahasa

Kejohanan Sepak Takraw Terbuka JBPN dapat sambutan baik

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Acara pemotongan kek sempena perasmian Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Piala JBPM. Gambar SNT/Ihsan Bomba

LAHAD DATU: Buat julung kalinya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Piala JBPM Sabah.

Menariknya, sebanyak 25 pasukan JBPM dari seluruh negeri Sabah berentap merebut kejuaraan tersebut yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, program ini menjadi satu bukti bahawa JBPM Sabah bukan sahaja komited dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai agensi penyelamat malah mampu menjadi pemangkin dalam melahirkan generasi yang sihat dan aktif dalam aktiviti sukan.

“Kejohanan sukan sepak takraw ini bukan sahaja sekadar sebuah sukan dan aktiviti kecergasan malah menjadi suatu platform dalam melahirkan atlet yang mempunyai tanggungjawab, dinamik, cemerlang dan berintegriti.

Antara pasukan yang menyertai Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Piala JBPM di Tawau. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Ia juga mampu memupuk nilai-nilai positif dalam meningkatkan mutu hidup dan kesejahteraan masyarakat sekaligus membentuk modal insan yang berkualiti,” katanya selepas merasmikan kejohanan tersebut di Dewan Masyarakat Tun Mustapha hari ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Sabah, Misran Bisara, Ketua Zon 5 JBPM Sabah Ismaidi Ismail, dan Pegawai Kementerian Belia dan Sukan Lahad Datu, Irwan Iskandar.

Dalam pada itu, beliau berkata, JBPM turut mengambil peluang mendekati masyarakat dalam melaksanakan Kempen Keselamatan Kebakaran.

Katanya ia menunjukkan bahawa JBPM komited dalam memastikan penyampaian maklumat berhubung bahaya kebakaran akan sampai kepada masyarakat setempat.

“Program ini menjadi senjata utama kita dalam memastikan pendedahan maklumat berkaitan pencegahan kebakaran itu dapat disampaikan.

“Saya berbesar hati kerana dapat menyaksikan sendiri dua program dilaksanakan serentak dengan jayanya serta mendapat sambutan yang sangat luar biasa samada dari dalam dan luar daerah ini,” katanya. – SabahNewsToday