Pilih Bahasa

Kekal dan tambah baik Esscom

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Hazani (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima. – Gambar SNT/Ihsan Esscom

LAHAD DATU: Struktur dan bentuk sedia ada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) perlu dikekalkan dan ditambah baik.

Komander Kawasan Pantai Timur Sabah (Esscom Datuk Hazani Ghazali berkata masih wujud ancaman secara berterusan terutama ancaman jenayah rentas sempadan daripada negara jiran yang membabitkan jenayah culik untuk wang tebusan, penyeludupan senjata dan manusia serta pendatang asing tanpa izin (PTI).

“Esscom perlu terus dikekalkan selagi ancaman-ancaman yang wujud di negara jiran ini dapat dikekang sepenuhnya.

“Dalam jangka masa lima tahun lagi Kalimantan, Indonesia akan dibangunkan sepenuhnya untuk menjadi ibu kota Indonesia, maka akan timbul lagi masalah-masalah yang tidak dapat kita jangkakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan perhimpuann Bulanan Esscom dekat sini, hari ini.

Seramai 240 pegawai dan anggota ESSCOM dan agensi penguatkuasa lain hadir dalam perhimpunan Bulanan ESSCOM. – Gambar SNT/Ihsan ESSCOM

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Esscom, Noor Alam Khan A. Wahid Khan, Timbalan Komander Esscom, Brigadier Jeneral Hamzah Ali dan Ketua Staf Operasi Udara Brigadier Jeneral Ayub Khan Mohd Khan.

Beliau berkata Esscom yang sudah ditubuhkan lebih tujuh tahun masih megah mengkoordinasi semua operasi-operasi keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Memang tidak dapat dinafikan ada kelemahan dan ada kejayaaan yang kita capai bersama sepanjang Esscom ditubuhkan.

“Walau apa sahaja cadangan samada Esscom distruktur atau ditutup, perjuangan tetap akan diteruskan sehingga kita peroleh sesuatu yang kita boleh banggakan,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan supaya Esscom ditambah baik iaitu dengan memasukkan beberapa agensi lain yang mempunyai kaitan dengan operasi Esscom.

Katanya ia sejajar dengan cadangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menubuhkan satu briged lagi di kawasan pantai timur Sabah iaitu di Kalabakan dan penubuhan satu briged Pasukan Gerakan Am (PGA) yang merangkumi dua Batalion PGA iaitu cadangan mewujudkan Batalion 21 di Kunak dan Batalion 22 di Kudat.

“Kita juga mencadangkan supaya Esscom ini ditambah baik iaitu dengan mencadangkan agensi-agensi yang lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjadi sebahagian daripada warga Esscom.

“Ia sebagai langkah mengukuhkan lagi peranan Esscom dalam melaksanakan operasi membanteras jenayah di kawasan pantai timur Sabah,” tambahnya.

Dalam Perhimpunan bulanan berkenaan, seramai 240 pegawai dan anggota Esscom termasuk anggota daripada agensi penguatkuasa lain di Esszone seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia menerima sijil penghargaan masing-masing daripada komander Esscom.

Sijil penghargaan ini diberikan bagi mengiktiraf dan menghargai sokongan dan kerjasama padu yang diberikan oleh agensi berkenaan sehingga Esscom dapat melaksanakan operasi-operasi keselamatan di Esszone dengan jayanya. – SabahNewsToday