Pilih Bahasa

Kekal perpaduan walau berbeza ideologi politik

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kira-kira 3,000 orang terdiri daripada pemimpin masyarakat dan sahabat handai menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Pengerusi Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin di kediamannya di Luyang baru baru ini.

Antara yang hadir termasuk Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga rakan seperjuangan beliau, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Setiausaha Umno Sabah Datuk Jafrey Arifin dan Ketua-ketua Umno Bahagian.

Tetamu mengambil peluang bergambar bersama Bung Moktar dan isteri, Datin Seri Zizie Ezette A. Samad (tengah)dan dua anak kembar mereka. – Gambar SNT/Ihsan Parlimen Kinabatangan

Ditemui di majlis tersebut, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata rakyat perlu terus bersatu dan mengekalkan perpaduan harmoni meskipun mempunyai perbezaan pandangan dan fahaman politik.

Katanya perayaan dan majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri adalah wadah terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan tanpa mengira kaum,agama dan fahaman politik.

“Alhamdulillah majlis ini dapat dihadiri oleh kaum keluarga rakan-rakan walaupun berlainan bangsa agama dan fahaman politik masing-masing menzahirkan sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana kita hanya ada satu simbol iaitu silatulrahim,” katanya.

Bung Moktar (empat dari kanan) bersama pemimpin Umno bahagian yang hadir ke majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau. – Gambar SNT/Ihsan Parlimen Kinabatangan

Menurut Bung Moktar rakyat usah berpecah belah hanya kerana perbezaan fahaman politik, sebaliknya perlu  terus memperkukuh hubungan silaturahim kerana perbalahan atau tiada persefahaman (dalam politik) tidak boleh menyelesaikan apa-apa masalah.

“Politik bukan 24 jam. Bukan setiap hari berpolitik. Apabila sampai pilihan raya nanti, maka, ketika itu kita akan menentukan apa pilihan kita,” ujarnya.

Menurut Bung Moktar lagi setiap pemimpin perlu menjadikan parti politik sebagai platform menyatupadukan rakyat keseluruhannya dan bukan untuk memperjuang kepentingan peribadi.

Katanya politik adalah wadah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pemimpin perlu menggunakan arena itu untuk memelihara kebajikan seterusnya menjamin kesejahteraan. – SabahNewsToday