Pilih Bahasa

Kekal PKP legakan kerisauan rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah berasa lega dan menyokong penuh keputusan Kerajaan Sabah untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebaliknya kekal dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei.

Timbalan Ketua Wira Warisan Pusat, Mohd Ismail Ayob berkata sejak PKPB diumumkan majoriti rakyat melahirkan kerisauan kerana Sabah masih belum pulih sepenuhnya daripada Covid-19.

Mohd Ismail Ayob. Gambar Fail SNT

“Perasaan risau itu memuncak semalam selepas perkembangan terbaharu jangkitan Covid-19 di seluruh negara kembali kepada tiga digit walaupun sebelum ini berjaya diturunkan kepada dua angka.

“Perkara yang bermain di fikiran jika PKPB dilaksanakan ialah meningkatkan lagi risiko gelombang baharu jangkitan melanda negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya Sabah perlu terus mempertahankan zon hijau yang ada di negeri ini dan memastikan daerah-daerah lain yang ada jangkitan pulih sepenuhnya.

Menurut Mohd Ismail, situasi melanda beberapa negara seperti Jepun yang kembali dilanda wabak selepas membenarkan pergerakan bebas rakyatnya perlu menjadi pengajaran kepada Sabah.

Sementara itu, jelas beliau pelaksanaan PKP bermakna ekonomi negeri masih belum dapat dipacu, namun itulah pengorbanan semua demi kesihatan dan keselamatan rakyat keseluruhan.

Tambahnya Kerajaan Sabah pasti akan membantu rakyatnya untuk memulihkan ekonomi sebaik sahaja PKP berakhir.

“Wira Warisan memuji langkah bijak diambil Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berani meneruskan PKP.

“Jika di Semenanjung mahu melaksanakan PKPB, kita boleh lihat dahulu dan ambil iktibar apa penambahbaikan yang perlu sehinggalah tamat PKP agar pelaksanaannya di Sabah nanti lebih baik,” katanya.-SabahNewsToday