Pilih Bahasa

Kekalkan hubungan baik Malaysia-China melalui petikkan piano

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Claudia ketika membuat persembahan prebiu sempena sidang media Konsert Legenda Laluan Sutera Maritim di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Pemain piano kelahiran Malaysia yang menempah nama di Beijing, China iaitu Claudia Yang menyifatkan persembahannya sempena Konsert Legenda Laluan Sutera Maritim 2019 sebagai salah satu sumbangan dalam memelihara hubungan baik dua negara.

Ditemui pada sidang media konsert itu semalam, Claudia berkata walaupun beranggapan sumbangan itu dianggap kecil namun dia tetap melihat ia tanggungjawab secara individu memandangkan Malaysia adalah negara asal manakala China yang banyak menaikkan namanya dalam bidang seni.

“Ia sesuai dengan objektif konsert ini yang turut meraikan ulangtahun hubungan diplomatik Malaysia-China ke 45.

“Muzik jiwa saya sejak dibangku sekolah lagi dan kenapa tidak menyatukan dua negara ini melalui alunan muzik petikkan piano yang dipersembahkan,” kata pemuzik wanita berusia 45 tahun itu.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, William Baya mewakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew; Timbalan Konsulat Republik China di Kota Kinabalu, Zhang He dan Pengarah Tour Plano Concerto, Yang Ling Yang.

Claudia (dua dari kiri) ketika sidang media Konsert Legenda Laluan Sutera Maritim di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Bakal berlangsung pada 18 Julai hadapan di Auditorium Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Sabah adalah lokasi kedua konsert jelajah berkenaan selepas Kuala Lumpur pada 16 Julai manakala Pulau Pinang menjadi lokasi ketiga pada 20 Julai hadapan.

Claudia juga akan berkolaborasi bersama kira-kira 80 pemain Okestra Simfoni Guangxi untuk persembahan lebih setengah jam itu.

Dijangkakan hadir Yang Dipertuan Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib serta menteri Kabinet Sabah.

Sementara itu, William berkata kerajaan negeri melalui kementeriannya menyambut baik penganjuran konsert terbabit malah berbangga kerana Sabah menjadi salah satu pilihan lokasi bagi siri jelajah berkenaan.

William berkata ia bukan sahaja memberi kebaikkan dalam memelihara hubungan baik antara dua negara malah boleh memberi inspirasi kepada generasi muda yang meminati bidang muzik. – SabahNews Today