Pilih Bahasa

Kekalkan litupan hutan di laluan kritikal untuk hidupan liar

KOTA KINABALU, 9 Okt — Kawasan yang tidak dilindungi tetapi penting untuk pergerakan hidupan liar di Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan perlu dikekalkan dalam kawasan litupan hutan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata kawasan hutan itu penting dalam menyediakan kesalinghubungan bagi tempat perlindungan hidupan liar berkeluasan 26,103 hektar itu yang dibahagikan kepada 10 lot di sepanjang hilir Sungai Kinabatangan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Beliau berkata demikian pada majlis simbolik penyerahan 93 hektar tanah di Hilir Kinabatangan daripada Saraya Co. Ltd, Borneo Conservation Trust (BCT) Jepun dan BCT Sabah kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah di sini malam tadi.

Sebanyak 93 hektar tanah dibeli melalui sumbangan Saraya Co. Ltd dan BCT Jepun untuk diwartakan sebagai sebahagian daripada Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.

“Hari ini, kita mempunyai 93 hektar tanah yang akan ditambah kepada tempat perlindungan sedia ada. Saya amat berterima kasih atas sumbangan semua pihak dalam mendapatkan kawasan kritikal ini.

“Saya harap anda akan terus menyokong usaha pemuliharaan Sabah,” katanya.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Presiden Saraya Co. Ltd Yusuke Saraya dan Pengerusi BCT Sabah Datuk Dr Laurentius Ambu.

Saraya Co. Ltd dan BCT Jepun telah menyumbang sebanyak RM9.3 juta kepada Sabah sejak 13 tahun lepas untuk beberapa program termasuk membangun, menaik taraf dan operasi Santuari Gajah Borneo, operasi menyelamatkan gajah dan pembelian beberapa plot tanah.

Liew berkata 132 hektar tanah yang kritikal untuk pergerakan hidupan liar yang terancam di Hilir Kinabatangan dibeli melalui sumbangan daripada masyarakat antarabangsa.

Ini dilakukan menerusi kutipan dana anjuran World Land Trust (WLT) yang berpangkalan di United Kingdom dan juga dana daripada Shared Earth Foundation dan Abraham Foundation dari Amerika Syarikat serta badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Land Empowerment Animals People (LEAP).

Tanah-tanah berkenaan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah pada 2013 dan pada masa ini sedang dalam proses diwartakan sebagai sebahagian daripada Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata kawasan perlindungan itu adalah tempat pemuliharaan hidupan liar yang penting bagi negeri ini.

“Ia kaya dengan hidupan liar termasuk spesies ikonik seperti orang utan, gajah Borneo, monyet belanda dan lain-lain lagi. Ia juga merupakan tarikan pelancongan alam semula jadi terkenal di Sabah,” katanya.– BERNAMA