Pilih Bahasa

Kekalkan rekod tanpa kalah: Peter

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Safa Datuk Peter Anthony mahu Tambadau Sabah terus memburu kemenangan walaupun perlawanan menentang Terengganu FC II malam ini hanya sekadar pelengkap jadual.

Saingan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini akan menyaksikan Sabah menurunkan ramai pemain dari bangku simpanan.

Datuk Peter Anthony. Gambar Fail SNT

Namun Peter berkata ia adalah tugas pasukan untuk cuba memenangi setiap perlawanan.

“Walaupun hanya pelengkap jadual kerana kita sudah juara tetapi tugas pasukan tetap sama dalam setiap perlawanan. Status juara itu adalah martabat yang perlu dipertahankan.

“Esok (malam ini), ramai pemain dari bangku simpanan akan bermula sebagai kesebelasan utama. Oleh itu, ia akan menjadi misi penting atau tugas khas buat mereka membantu pasukan memburu kemenangan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Peter berkata, rekod tanpa kalah 11 perlawanan berturut-turut termasuk enam kemenangan berturut-turut sebelum ini juga perlu dikekalkan.

“Momentum baik itu perlu dikekalkan kerana selepas ini kita akan mengharungi saingan Piala Malaysia. Biasanya, ia bukan mudah untuk dapatkan semula momentum apabila ia jatuh.

“Sebab itu, saya fikir kita masih ada alasan yang kuat untuk memburu kemenangan. Perlawanan ini juga perlu dimanfaatkan untuk membantu persiapan menghadapi Piala Malaysia,” katanya.

Ketua jurulatih Jelius Ating dijangka merehatkan beberapa pemain utama seperti penjaga gol Rozaimie Rohim, Alto Linus, Mohd Azizan Nordin, Jenius Karib dan Rodoljub Paunovic.

Ia bagi memberikan mereka rehat selepas mengharungi musim panjang selain ada yang mengalami sedikit kecederaan atau berisiko digantung perlawanan jika menerima kad kuning.

Tugas penjaga gol utama akan diberikan kepada Robson Rendy Rining manakala Muhammad Mohd Safar  akan ambil tempat Evan yang memang menjalani penggantungan permainan.

Safar dan Randy Baruh yang telah melunaskan penggantungan permainan akan membarisi bahagian pertahanan bersama Rawilson Batuil dan Park Tae Su yang juga telah menamatkan penggantungan permainan.

Mohd Azwan Abd Fattah pula akan ambil tempat Azizan untuk menggerakkan bahagian tengah bersama Ahmet Atayev, Ricco Nigel Milus dan Maxsius Musa manakala Rahman Shah Marajeh ambil tempat Paunovic bergandingan dengan Aguinaldo Mendes di bahagian serangan.

Turut dalam senarai 18 pemain yang dibawa adalah Rozaimie, Alto, Jenius, Azizan, Mazlan Yahya, Dendy Lowa dan Justin Samaan.

Sebagai rekod, pertemuan kedua-dua pasukan pada pusingan pertama di Stadium Likas berpihak kepada Tambadau Sabah dengan kemenangan 3-1.-SabahNewsToday