Pilih Bahasa

Kelab Rotary lancar buku gambar keindahan budaya dan alam sekitar Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Christina (tiga dari kiri) melancarkan buku ‘coffee table’ Beautiful People of Sabah di Perpustakaan Negeri Sabah, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kelab Rotary Kota Kinabalu menerbitkan buku berjudul Beautiful People of Sabah dalam usaha membantu kerajaan negeri memelihara serta menjaga alam sekitar di negeri ini.

Buku ‘coffee table’ mempunyai 108 halaman itu dijual pada RM50 sebuah dan menghimpunkan pelbagai gambar yang mengetengahkan kepelbagaian etnik dan warisan di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata pihaknya memuji usaha kelab berkenaan yang menerbitkan buku seumpama itu kerana ia mampu mencerminkan kebudayaan Sabah dan rakyatnya, sekaligus melengkapi usaha kerajaan dalam perlindungan alam sekitar.

“Sesuatu gambar boleh menceritakan segalanya termasuklah perkembangan industri pelancongan di negeri ini.

“Keindahan pelbagai tempat serta gaya hidup masyarakat yang terdapat pada setiap gambar secara tidak langsung mampu mempromosikan budaya kita di mata dunia,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan buku terbabit, di sini, hari ini.

Christina pada sidang media selepas melancarkan buku ‘coffee table’ Beautiful People of Sabah di Perpustakaan Negeri Sabah di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Christina berkata menurut rekod, Sabah setakat ini sudah menerima kemasukkan sebanyak 1.3 juta pelancong pada suku pertama tahun ini.

Terdahulu kelab berkenaan sudah melancarkan tiga edisi buku iaitu “The Beautiful River of Sabah” yang diterbitkan pada tahun 2006, “The Beautiful Beaches of Sabah” (2007), dan “The Beautiful Mountains of Sabah” (2009).

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Hiew Chee Wah berkata pihaknya mula bergiat aktif dalam membantu kerajaan menjaga kebersihan dan alam sekitar sejak tahun 2003.

Beliau berkata matlamat utama kelab terbabit adalah meningkatkan kesedaran orang awam berkaitan kepentingan memelihara warisan kebudayaan tempatan selain menjaga alam sekitar.

“Kita berharap generasi muda dapat memahami usaha ini dan lebih peka kepada pelbagai isu alam sekitar kerana mereka adalah pelapis yang akam meneruskan usaha berkenaan pada masa hadapan,” katanya. -SabahNews Today