Pilih Bahasa

Kelab Sukan RHB laksana CSR bersihkan sampah di Pulau Mabul

Oleh Alfred Petrus

SEMPORNA: Seramai 22 orang penyelam dari Kelab Sukan dan Rekreasi RHB Bank menjalankan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) membersihkan sampah di dasar laut dan darat di Pulau Mabul, pada Ahad.

Program selaman yang pada mulanya diperkenal untuk menggalakkan kakitangan terlibat dengan aktiviti sihat itu dikembangkan lagi bagi membantu menyumbang kepada usaha konservasi hidupan marin.

22 orang penyelam kelab selaman berkenaan bersama penduduk sekitar merakamkan gambar kenangan selepas membersihkan lautan. Gambar SNT/Ihsan Kelab Selaman RHB

Pengasas Kelab Selaman di bawah Kelab Sukan dan Rekreasi RHB Bank Nasarudin Che Ahmad berkata sampah terutama plastik menyumbang kepada kematian hidupan marin.

Oleh itu, langkah perlu diambil bagi membantu mengurangkan sampah yang ada di dasar laut.

Nasarudin turut membersihakan sampah sarap yang ada di dalam marin. Gambar SNT/Ihsan Kelab Selaman RHB

Sempena program CSR pertama dibawah aktiviti selaman itu, kelab berkenaan memilih Pulau Mabul sebagai lokasi melaksana pembersihan di dasar laut dan darat.

“Jika kita gemar melakukan aktiviti selaman, kita tidak ingin melihat sampah mencemarkan keindahan lautan kita. Atas sebab itu, kami ingin menjalankan aktiviti pembersihan sampah di kawasan dasar laut dan juga di daratan.

“Kami turut dibantu oleh penduduk Kampung Mabul ketika bergotong-royong memungut sampah di pesisiran pantai Pulau Mabul.

“Kami melihat kesungguhan mereka membantu membersihkan sendiri pesisir pantai mereka,” katanya ketika ditemui semasa Program CSR Pembersihan Sampah di Pulau Mabul, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata aktiviti pembersihan sebegitu sudah tentu tidak mampu memberi impak yang besar sekiranya ia tidak dilakukan secara berterusan.

Namun, ahli-ahli kelab itu ingin membantu mengurangkan plastik dan sampah yang berada sekitar laut di pulau tersebut.

Katanya aktiviti pembersihan itu memerlukan didikan secara berterusan bagi mengubah sikap masyarakat setempat agar tidak membuang sampah terus ke dalam laut.

“Berkemungkinan, aktiviti selaman dan CSR di Pulau Mabul ini akan dijadikan aktiviti tahunan kami,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, kelab sukan ini juga merancang untuk menjalankan satu aktiviti yang memberi impak jangka panjang kepada hidupan marin pada masa akan datang.

Beliau yang juga Pengurus Kanan Kewangan Kumpulan RHB berkata dengan adanya program CSR jangka panjang sebegitu, usaha membantu mempromosi pusat selaman yang belum dikenali masyarakat dunia boleh dilakukan.

Katanya kelab itu turut merancang menjalin kerjasama bagi melaksana projek yang mampu memberi impak kepada penyelidikan marin dan masyarakat di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya sejak aktiviti selaman diperkenalkan kepada ahli kelab bermula 2017, ia sudah disertai hampir 50 kakitangan RHB Bank di seluruh Malaysia termasuk Sabah.

Nasarudin berkata selaras dengan program CSR di Mabul, mereka turut mengadakan Program CSR penyerahan sumbangan kepada lima keluarga asnaf di Lahad Datu.

Pemilihan keluarga asnaf yang layak diberi bantuan itu dilakukan dengan bantuan Pejabat Daerah Tungku, Lahad Datu.

Beliau berkata kedua-dua program itu dilaksana atas inisiatif kelab berkenaan bagi menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat di negara ini. -SabahNewsToday