Pilih Bahasa

Keldai dadah diupah RM6ribu seludup dadah ditahan di Lapangan Terbang Tawau

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kelibat yang mencurigakan seorang lelaki dipercayai keldai dadah yang cuba menyeludup masuk dadah jenis Methamphetamine atau syabu membawa kepada penahanannya sebelum sempat keluar daripada pintu ketibaan di Lapangan Terbang Tawau, Isnin lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata lelaki tempatan berusia 30-an baharu sahaja mengambil beg di tempat menuntut bagasi selepas mendarat dari Kuala Lumpur dengan sebuah penerbangan sebelum ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) pada jam 3.45 petang.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass (tiga kiri) pada sidang media kejayaan polis memberkas seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai keldai dadah di Lapangan Terbang Tawau, Isnin lepas, pada sidang media di IPK Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Anggota polis seterusnya membawa suspek dan bagasi yang dituntut itu ke Balai Polis Lapangan Terbang Tawau.

“Setelah diarahkan untuk membuka beg dengan nombor kombinasi yang dihanya diketahui suspek, terdapat lima bungkusan plastik makanan laut didalam bagasi tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Bagasi yang dimiliki suspek berisi lima paket plastik lutsinar berisi hablur jernih dipercayai dadah jenis Methamphetamine. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Zaini, bungkusan makanan laut itu kemudian dibuka untuk melihat isi kandungannya.

“Setelah dibuka, terdapat satu lagi bungkusan teh cina yang disembunyikan dalam plastik makanan laut tadi.

“Penemuan bungkusan kedua dalam bungkusan yang pertama itu telah menemukan satu paket plastik lutsinar yang berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine atau syabu,” jelasnya.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass (dua kiri) bersama Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas menunjukkan paket plastik berisi dadah jenis syabu pada sidang media di IPK Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tambah Zaini, kelima-lima paket dadah itu mempunyai anggaran berat kasar seberat 5.3 kilogram dengan jumlah harga rampasan dianggarkan bernilai RM 266,250.

“Ini merupakan tangkapan pertama yang membabitkan keldai dadah di Sabah bagi tahun ini. Dan ini juga merupakan satu kejayaan rampasan dadah terbesar bagi daerah Tawau setakat tahun 2019,” katanya.

Daripada ujian saringan air kencing awal, suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine

“Hasil soal siasat awal yang dijalankan ke atas suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu, suspek mengakui menerima upah untuk membawa masuk dadah itu melalui udara dengan bayaran RM6,000.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Julai untuk membantu siasatan termasuk mengenal pasti bagaimana bekalan dadah itu diperoleh,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. -SabahNewsToday