Pilih Bahasa

KEM PINTAR ELAK MURID TERJERUMUS DENGAN DADAH

Oleh Alfred Petrus

Gambar kenangan AADK dan 51 murid SK Mempagar pada program terbabit. – Gambar SNT/Ihsan AADK

BEAUFORT: Penglibatan seramai 51 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mempagar dalam Kem Pintar 2.0 bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mampu mengelakkan murid daripada terjerumus dengan gejala penyalahgunaan dadah.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kawasan Klias merangkap ikon antidadah Beaufort, Johair Matlani berkata program itu bertujuan melahirkan anak-anak muda yang bebas daripada dadah, sekaligus menjadi contoh kepada para murid yang lain. 

“Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran serta pengetahuan mengenai bahaya dadah dan kesannya kepada pelajar, memupuk sikap dan amalan baik serta memperkasa keupayaan dan komitmen sekolah dan keluarga dalam mengatasi masalah berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya ketika berucap merasmikan prgoram Kem PIntar 2.0 bersama AADK di sini hari ini.

Peserta turut mengikuti perkongsian bersama AADK berkenaan bahaya dadah. – Gambar SNT/Ihsan AADK

Johair berkata program seperti itu amat berguna kepada murid sekolah bagi membantu anak muda bersedia dalam mengelak daripada terjebak dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di masa depan. 

Beliau juga memuji usaha yang dilakukan oleh pihak AADK Beaufort dalam memberikan pendidikan pencegahan antidadah di semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia bangsa dan juga agama. 

Beliau juga mengharapkan agar program seumpama itu diteruskan pada masa yang mendatang. -SabahNewsToday