Pilih Bahasa

Kemajuan Sabah dihambat kurangnya pematuhan MA63 – Tangau

KUALA LUMPUR: Sabah berpotensi untuk lebih maju dan progresif namun terhambat oleh kurangnya pematuhan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Putrajaya wajib memberikan Sabah peruntukan pembangunan yang lebih besar andai ia serius mahu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 tercapai.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan Negara 2020 di Dewan Rakyat. Gambar SNT/Ihsan Pejabat MP Tuaran

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menegaskan, “Sabah memerlukan peruntukan yang besar… mempertingkatkan lagi infrastruktur logistik“ supaya ia dapat berjalan seiringan dengan yang lain, sekali gus menghidupi kemakmuran bersama.

“Pencapaian ekonomi keseluruhan; Malaysia telah mencapai RM1 trillion keluaran dalam negara kasar… Penyumbang adalah negeri-negeri yang mempunyai infrastruktur yang hebat seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor.

“Sumbangan (Sabah) yang sedikit kerana tidak mampu menarik pelabur, khususnya yang berasaskan pembuatan, kerana cabaran logistik dan yang paling penting adalah pelabuhan,” tambah beliau.

Tangau, ahli Dewan Rakyat Tuaran merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata demikian ketika membahas Belanjawan 2020 di Parlimen semalam.

Tangau (kanan) berbincang mengenai Belanjawan Negara dengan Datuk Liew Vui Keong (kiri) di lobi Parlimen, Gambar SNT/Ihsan Pejabat MP Tuaran

Menjawab celaan daripada Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan) dan Jonathan Yassin (Ranau) yang bertanya sama ada Tangau setuju bahawa pembahagian peruntukan adalah tidak seimbang, walhal seharusnya seimbang selaras dengan MA63, Tangau berkata:

“(Peruntukkan) tidak seimbang….. Apakah asas-asas dan pertimbangan yang telah dibuat untuk menentukan jumlah tersebut? Untuk mengelakkan persoalan, laksanakan sahaja” Jadual Kesepuluh [Perkara 109, 112C, 161C(3)] – Pemberian dan Sumber Hasil yang diserahhakkan kepada Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang berlandaskan MA63.

Beliau menambah sepatutnya jumlah “40 peratus hasil diberikan kepada Sabah secara at source. Tidak perlu dikutip oleh Kuala Lumpur sebaliknya diberikan terus kepada Sabah.”

Walau bagaimanapun, Tangau berterima kasih kepada Putrajaya kerana setelah sekian lama, Kerajaan telah menggandakan pemberian khas daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta dan akan ditingkatkan sehingga RM106.8 juta dalam masa lima tahun.

Beliau juga menggesa Putrajaya untuk mempercepatkan beberapa hal seperti perlesenan, tempat pendaratan sah (legal landing place) untuk Pelabuhan POIC Lahad Datu yang sudah “satu tahun penantian dan masih menunggu daripada Kementerian Kewangan Persekutuan.”

Untuk menarik main line shipping operators ke Sabah, infrastruktur seperti pelabuhan perlu dibaiki dan dinaik taraf, kata beliau, sambil bertanya apakah status terkini peruntukan yang telah diberikan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu RM1.1 bilion untuk Pelabuhan Sepanggar kerana ia “perlu dilaksanakan. Pelaksana sudah dilantik oleh Kerajaan yang lalu.”

Tangau juga mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan melihat kepada peluang yang wujud di Selat Lombok-Makassar memandangkan Selat Melaka sudah terlalu padat.

“Selat Lombok-Makassar adalah berimpak tinggi memandangkan Indonesia telah membuat keputusan untuk memindahkan ibu negara dari Jakarta ke Kalimantan Timur. Malaysia, Sabah khususnya di Pantai Timur mempunyai pelabuhan yang sangat baik. Contohnya, pelabuhan POIC Lahad Datu adalah antara pelabuhan paling dalam di Malaysia dan berpotensi menjadi the Rotterdam of the East,” tambah beliau.

Tangau berpendapat Kerajaan harus memastikan infrastruktur dan juga utilities ada tersedia. Cabaran yang dihadapi Sabah adalah dalam air dan elektrik.

“Banyak peluang-peluang industri tetapi penghalangnya adalah ketiadaan enablers, hal-hal seperti bekalan elektrik,” katanya lagi.

Beliau juga menggesa Putrajaya untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu pendatang asing tanpa izin di Sabah.

“Keselamatan Pantai Timur sangat penting dan perlu ditingkatkan. Ambil langkah-langkah untuk memastikan tiada lagi insiden penculikan dan diberi keutamaan,” kata beliau.

“Hal kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah perlu diselesaikan…. Langkah penyelesaian adalah amat penting. Oleh itu, kesemua cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin perlu dilaksanakan. Setelah RCI tersebut dibentangkan sekian lama, masih tiada kaedah pelaksanaan,” tambah beliau.

Sebagai contoh, Timbalan Pengarah Jabatan Pendaftaran mengatakan bahawa surat beranak yang telah dikeluarkan di Sabah hanya 2.8 juta sedangkan jumlah penduduk Sabah berdasarkan perangkaan adalah 3.5 juta. “Siapakah 700,000 selebihnya?” soal beliau.

Tangau juga menggesa agar urus tadbir Jabatan Pendidikan di Sabah diselaraskan termasuk dalam hal lebih 500 sekolah-sekolah daif, termasuk 52 di kawasan parlimen Tuaran.

Beliau juga meminta supaya pihak berkuasa mempercepatkan perbincangan mengenai pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo kerana “pemberhentian kerja-kerja pembinaan yang sudah terlalu lama.”-SabahNewsToday