Pilih Bahasa

Kemalangan ngeri, lelaki digilis kereta api

Oleh Junaidi Ladjana

Keadaan mayat mangsa yang ditemui tertiarap dipercayai dilanggar kereta api. – Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

BEAUFORT: Seorang lelaki ditemui mati di atas landasan dalam keadaan mengerikan apabila dilanggar kereta api berhampiran tapak pembinaan Dewan Persatuan Wanita Beaufort, Kampung Bakalau di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, mangsa Charlieyon Dasmon, 27, ditemui dalam keadaan tertiarap dengan tengkorak pecah manakala pergelangan tangan kanan dan kaki kirinya putus.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata sebaik menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 7.45 pagi, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan.

“Pegawai penyiasat yang tiba di lokasi menemui mayat berada di tengah-tangah landasan dalam keadaan tertiarap.

“Mangsa mengalami parah pada bahagian kepala (tengkorak pecah), putus pergelangan tangan kanan dan pergelangan kaki kiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa yang maut digilis kereta api. – Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

Azmir berkata, soal siasat terhadap pemandu kereta api itu menunjukkan bahawa dia tidak menyedari kejadian itu sehingga dimaklumkan oleh kakitangan di stesen kereta api di Beaufort.

Dalam pada itu Azmin menambah, berdasarkan rakaman percakapan isteri mangsa mendapati mangsa selalu tidak pulang ke rumah dan minum minuman keras bersama rakannya.

“Kali terakhir mangsa keluar rumah dan pergi kerja pada 7.30 pagi semalam,” katanya sambil menambah mayat mangsa dibawa ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat.

 Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian. – SabahNewsToday