Pilih Bahasa

KEMAS DIGESA TERUS PERKASA PPP, TINGKAT TARAF HIDUP LUAR BANDAR

Oleh Sabah News Today

Ewon menyampaikan mesin jahit kepada salah seorang peserta, turut kelihatan Ferdian dan Sharulnizam. Gambar SNT/Ehsan KPLB

KOTA KINABALU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) digesa untuk terus memperkasa Program Peningkatan Pendapatan (PPP) untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar melalui aktiviti ekonomi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata ia berikutan program tersebut menyediakan bantuan-bantuan bagi kursus prapelaksanaan dan kos peralatan modal kepada golongan miskin tegar dan ibu tunggal serta yang berminat untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Matlamat program ini antaranya meningkatkan pendapatan isi rumah serta merapatkan jurang pendapatan dalam kalangan isi rumah di bandar dan luar bandar.

Ewon bergambar bersama tiga peserta PPP dan rombongan Kemas. Gambar SNT/Ehsan KPLB

“Saya juga berharap bantuan peralatan seperti mesin, ruang niaga, bahan mentah, latihan dan kursus kemahiran asas yang dilaksanakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Penyampaian Peralatan Kepada Peserta PPP agensi pelaksana Kemas selepas kunjungan hormat Pengarah Kemas Sabah Sharulnizam Jantan dan rombongan di Bilik Mesyuarat Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) pada Khamis.

Ewon menegaskan bahawa Kemas juga perlu berusaha meningkatkan usaha membasmi kadar buta huruf dalam kalangan masyarakat luar bandar seluruh negeri.

“Pada tahun lepas, saya telah mengadakan lawatan di Kampung Tagapalang Paitan dan saya amat sedih apabila bertemu dengan dua remaja wanita dari kampung itu yang tidak pernah bersekolah.

“Sehubungan itu saya berharap pihak Kemas dapat melaksanakan program yang bersesuaian seperti Program 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) dengan memberi tumpuan kepada penduduk luar bandar serta pedalaman terutamanya di Kampung Tagapalang Paitan.

“KPLB sendiri telah memasukkan kampung ini dalam Program Kampung Sejahtera bagi memudahkan kerajaan meembangunkan kampung itu seterusnya meningkatkan sosio ekonomi penduduk Tagapalang,” katanya.

Sementara itu, melalui PPP, seramai 16 peserta terpilih seluruh Sabah untuk menerima peralatan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM59,960 bagi menambah pendapatan dan meluaskan lagi perniagaan yang mereka ceburi selaras dengan objektif dan tujuan PPP.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Ferdian Gan, Setiausaha Perhubungan Awam KPLB Charles Dalinsing dan Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Muhammad Abu Bakar. -SabahNewsToday

-Tamat