Pilih Bahasa

Kemasukan Bersatu ke Sabah bakal jadi kenyataan: Hajiji

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Hajiji (tengah) ketika ditemui pemberita dalam Majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran PBS di Dewan Hakka, Likas. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman, Datuk Hajiji Noor menegaskan kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah tidak lama lagi bakal menjadi kenyataan.

Beliau mengesahkan perkara itu ketika ditanya mengenai isu Bersatu ke Sabah yang masih belum dimuktamadkan sebagai menghormati kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan negeri ini yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Saya memberi jaminan bahawa Bersatu akan masuk ke Sabah tidak lama lagi,” katanya ringkas semasa menjawab pertanyaan berhubung gesaan serta cadangan sebelum ini agar Bersatu tidak menggembangkan sayap ke negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hakka, Likas di sini hari ini.

Program itu turut dihadiri Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili serta tiga Timbalan Presiden iaitu Datuk Radin Maleh, Senator Datuk Jamilah Sulaiman dan Datuk Dr Yee Moh Chai dan Penasihat Utama PBS yang juga bekas Presiden, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Lebih 1,000 orang memeriahkan rumah terbuka itu yang bermula pada pukul 11 pagi hingga 2 petang.

Dalam pada itu Hajiji berkata buat masa ini beliau dan bekas pemimpin Umno lain masih berstatus Adun bebas dan belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti.

Begitupun beliau menjelaskan bahawa mereka tetap meneruskan kerjasama dengan GBS tanpa sebarang masalah.

“Bagi kami mimpi-mimpi dulu dalam sebulan ini, (kami) sedang pertimbangkan. Tetapi kami tidak akan sertai semula Umno. Semua yang keluar (Umno) mencari platform baharu. Kita tidak akan balik kepada Umno.

“Kita sekarang ini bekerjasama dengan Adun-Adun lain dari PBS, Star (Parti Solidariti Tanahairku Sabah) dan PBRS (Parti Bersatu Raktat Sabah).

“Mungkin menyertai parti lain… tapi yang pasti bukan Warisan,” katanya. – SabahNewsToday