Pilih Bahasa

Kemasukan semula Rahim Ismail tepat, lebih ramai bekas ahli Umno dijangka menyusul: Rahman Dahlan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan menjangkakan lebih ramai mantan ahli Umno Sabah akan meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kembali selepas melihat perubahan dalam Umno Sabah sekarang.

“Berita kepulangan Datuk Abdul Rahim Ismail, mantan Ketua Umno Bahagian Papar, ke pangkuan Umno Sabah amat dialu-alukan.

Abdul Rahman Dahlan. Gambar Fail SNT

“Tahniah kepada Datuk Abdul Rahim kerana membuat keputusan nekad dan tepat untuk bersama kembali dengan Umno Sabah dalam perjuangannya.

“Saya jangkakan lebih ramai lagi mereka yang telah keluar dari Umno akan kembali berjuang dengan Umno Sabah memandangkan Umno Sabah telah terbukti banyak jasa membangunkan negeri Sabah dan menjaga kebajikan rakyat sejak 25 tahun ini,” kata Abdul Rahman dalam kenyataan pada hari ini.

Disamping itu, katanya mereka berminat kembali kepada perjuangan Umno Sabah kerana Umno Sabah bakal mendapat kelulusan autonomi politik pada perhimpunan agung Umno hujung tahun ini.

“Dengan adanya autonomi politik ini, Umno Sabah akan dibenarkan mengurus dan membuat keputusan pentadbiran dan politiknya tanpa campur tangan Umno Malaysia di Kuala Lumpur. Inilah yang mereka nanti-nantikan selama ini,” jelas Abdul Rahman yang juga pemangku Ketua Bahagian Umno Tuaran.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Umno bahagian Papar yang berlapang dada dan berjiwa besar menerima kembali Abdul Rahim dalam satu perjuangan demi rakyat Sabah dan negeri.

Abdul Rahman mendakwa kewujudan Bersatu di Sabah bukan kerana satu perjuangan tetapi lebih kepada kepentingan masing-masing.

“Pada awalnya 21 Ketua Umno Bahagian Sabah, lima ahli parlimen Umno, sembilan ahli dewan undangan negeri Umno dan dua senator Umno melompat parti.

“Ini termasuk ramai ketua-ketua sayap wanita, pemuda dan puteri Umno. Mereka membuat perhitungan salah kononnya Umno Sabah akan mati dan bakal terkubur selepas PRU ke-14.

“Malangnya bila mereka melompat, mereka membawa sekali fail-fail pentadbiran Umno bahagian bersama mereka.

“Sepatutnya fail-fail pentadbiran Umno wajib diserahkan kepada pentadbiran baru bahagian. Fail-fail tersebut adalah hak Umno Sabah,” katanya.

Dakwa Abdul Rahman lagi, mereka mempunyai agenda tertentu bila mereka enggan menyerahkan fail tersebut kepada pentadbiran bahagian Umno Sabah yang baharu.

“Dengan adanya fail-fail pentadbiran Umno dalam tangan mereka, ramai ketua-ketua cawangan dan ahli biasa Umno secara tiba-tiba didaftar sebagai ahli Bersatu dengan menggunakan data peribadi yang ada dalam fail-fail pentadbiran Umno Sabah tersebut.

“Ramai ahli Umno yang terkejut dan marah kerana nama mereka didaftar sebagai ahli PPBM tanpa pengetahuan mereka,” kata beliau.

“Namun Allah SWT itu maha besar dan maha adil. Lebih ramai pemimpin meninggalkan Umno Sabah, lebih ramai pula orang baru memohon menjadi ahli Umno Sabah.

“Mereka amat kecewa dengan dasar-dasar kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang bercelaru dan tidak berhala tuju,” katanya.

Menurut beliau, mesyuarat tahunan Umno Sabah yang sedang berlangsung sekarang ini di peringkat cawangan, sayap dan bahagian, tanpa diduga begitu meriah dan bersemangat.

“Hakikatnya Umno Sabah tidak mati dan terkubur. Umno Sabah terus hidup dengan iltizam dan semangat baru,” katanya.

Kelmarin Abdul Rahim mengumumkan meninggalkan Bersatu dan kembali kepada Umno kerana mendakwa Bersatu gagal menepati janji untuk menjadi lebih inklusif.-SabahNewsToday