Pilih Bahasa

Kematangan dalam memperkasa perpaduan jadi keutamaan untuk rakyat

Bernama

TENOM, 8 Feb —  Kematangan dalam memperkasakan perpaduan sentiasa menjadi keutamaan untuk rakyat di negara ini khususnya di Sabah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata meskipun rakyat di negeri ini hidup dalam kepelbagaian etnik, anutan agama, budaya dan falsafah politik namun sentiasa menjaga keharmonian bermasyarakat.

“Kita lihat apa yang berlaku hari ini, perayaan Tahun Baharu Cina bukan sahaja dihadiri oleh kaum Tionghua tetapi juga bangsa lain seperti Dusun dan Murut serta kaum lain turut hadir untuk bersama-sama meraikan sambutan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri sambutan perayaan Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, di sini semalam.

Azis yang juga Ahli Parlimen  Sepanggar turut menasihatkan kepada rakyat di negeri ini agar menjauhi sebarang aktiviti berunsur ekstrim yang tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat mahupun negeri.

Lebih 1,000 tetamu memeriahkan acara itu yang turut dihadiri Ahli DUN Kemabong Jamawi Jaafar.

— BERNAMA