Pilih Bahasa

Kematian jurulatih menyelam mungkin ada kaitan niat bunuh: Polis

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass tidak menafikan kematian jurulatih menyelam, Ab Zainal Abdun, 30, dan dua pelancong China yang maut semasa menyelam di Pulau Kalapuan ada kaitan dengan niat membunuh.

Beliau berkata ketiga-tiga mangsa kemungkinan menjadi sasaran pembunuh namun menjelaskan pihak polis masih belum mengesahkan pihak yang terlibat dalam kejadian itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ada kemungkinan ketiga-tiga mangsa merupakan sasaran pembunuh tetapi dalang dan motifnya belum dapat dikenalpasti serta belum jelas,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK) Kepayan.

Keputusan bedah siasat mendedahkan bahawa kematian ketiga-tiga mangsa akibat letupan yang menyebabkan mereka mengalami kecederaan dalaman serta kecederaan pada anggota badan seperti perut dan dada.

Kejadian yang meragut nyawa Ab Zainal bersama dua pelancong China iaitu Zhao Zheng dan Xu Yingjie berlaku di perairan Pulau Kulapuan, Semporna pada awal bulan ini.

Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – SabahNewsToday