Pilih Bahasa

Kemelut pentadbiran IDS wajar diselesaikan ikut peraturan sedia ada- Madius

TAMPARULI: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata apapun juga penyelesaian terhadap kemelut dalam pentadbiran Institut Penyelidikan Pembangunan Sabah (IDS) wajar mengikut peraturan sedia ada.

“Apa yang berlaku di Institut itu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Institut ada ahli lembaga pengarah, yang menentukan bagaimana institut itu diurus tadbir. Saya percaya perkara ini akan diselesaikan dalam ruang lingkup itu,” kata beliau.

Madius (berdiri tengah) dan isteri beliau bersama dengan ahli keluarga Lontou-Himbalou. Gambar SNT/Ihsan Upko Tuaran

“Saya difahamkan perkara ini sudah di rujuk kepada YAB Ketua Menteri. Ini baik kerana sememangnya tidak salah untuk meminta nasihat daripada kepimpinan tertinggi Sabah,” tambah beliau.

Madius berkata demikian kepada wartawan di Majlis Hari Keluarga dan Hari Raya Aidilfitri Sinakagon Lontou-Humboloi  ketika diminta mengulas mengenai isu IDS.

Media melaporkan semalam bahawa Ketua Menteri akan berjumpa secepatnya dengan pengerusi IDS Tan Sri Simon Sipaun untuk berbincang mengenai kemelut dalam badan pemikir Kerajaan.

“Bagi saya, setiap kita ada peranan masing-masing. Agensi seperti IDS ada peraturannya sendiri. Wajar kita hormati. Itu prinsip yang kita pegang dalam Kerajaan baru ini,” kata Madius. 

Dilaporkan bahawa lembaga pengarah IDS pada 29 Mei lalu telah memutuskan tidak menerima pelantikan Datuk Dr Johan Arifin Samad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) selepas tamat tempoh percubaan enam bulan.

Sementara itu, Madius menggesa perkumpulan seperti untuk keluarga untuk meneruskan usaha untuk memperatkan lagi ikatan kekeluargaan.

“Saya syorkan perkumpulan seperti Sinakagon Lontou-Humboloi ini untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Pertubuhan supaya kita boleh beroleh bimbingan serta sokongan rasmi daripada Kerajaan,” kata beliau.

Dalam ucapan ringkasnya, pengerusi program hari ini, Albert Bingkasan berterima kasih kepada Madius yang begitu prihatin dan senantiasa menyokong aktiviti keluarga.

“Datuk Seri Madius selalu memberikan dorongan serta sokongan untuk acara kekeluargaan seperti ini. Beliau selalu pesan, keluarga selaku unit terkecil sesebuah negara, wajar kukuh dan progresif,” kata Bingkasan.-SabahNewsToday