Pilih Bahasa

Kemenangan bergaya Pavit gegarkan Sabah Masters 2019

Oleh Mohd Adam Arinin

Ahmad Shah (kiri) menyerahkan hadiah kepada Pavit, yang menjuarai Asian Tour Sabah Masters 2019 yang berlangsung di Sutera Harbour Golf and Country Club. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kota Kinabalu: Pemain golf profesional dari Thailand, Pavit Tangkamolprasert menewaskan rakan senegara, Phacara Khongwatmai dan pemain golf dari Australia, David Gleeson dengan pukulan ‘birdie’ yang menarik dalam penentuan ‘play-off’ di Sabah Masters, semalam.

Pavit, 30, yang tewas ketika beraksi di Kejohanan Terbuka Thailand dua minggu lalu menebus kekalahan beliau dengan muncul juara setelah menewaskan Phachara, Gleeson dan Aman Raj dari India di Sutera Harbour Golf and Country Club, di sini.

Juara Asian Tour Sabah Masters 2019, Pavit Tangkamolprasert ketika beraksi di Sabah Masters 2019 yang berlangsung di Sutera Harbour Golf and Country Club. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pavit membuat catatan enam di bawah par 65 pada pusingan ‘play-off’ terakhir bagi menamatkan saingan 13 bawah par 271 dalam kejohanan Asian Tour 2019.

Pukulan menarik ‘birdie’ dari jarak 15 kaki itu membolehkan Pavit membawa pulang hadiah cek tunai berjumlah USD 54,000 (RM225,310).

Pemain golf dari Korea, Yikeun Chang melakukan pukulan ‘tee-off’ di Sabah Masters 2019 yang berlangsung di Sutera Harbour Golf and Country Club. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pelancongan Malaysia Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau. – SabahNewsToday