Pilih Bahasa

Kemenangan BN bukti manifestasi autonomi Umno Sabah: Ahmad Zahid

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KIMANIS: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis sebagai manifestasi kepada autonomi yang diberikan Umno Sabah di semua peringkat.

Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin Umno dalam sidang media selepas pengumuman keputusan PRK Kimanis malam tadi. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Beliau berkata manifestasi yang diberikan itu telah diterjemahkan dengan sebaiknya oleh rakyat khususnya penyokong parti itu Kimanis menerusi kemenangan calon BN, Datuk Mohamad Alamin dalam PRK Parlimen Kimanis.

“Ia adalah satu langkah pertama ke arah untuk terus merelevankan Umno dan BN dalam perjalanan politik yang jauh.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohamad Alamin (tengah) dirai selepas menang dengan majoriti 2,029 undi mengalahkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang di Pilihan Raya Kecil P176 Kimanis, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Selain itu kemenangan itu merupakan satu pengiktirafan bukan hanya daripada pengundi-pengundi Kimanis tapi realitifnya pengundi di seluruh Sabah melalui calon Umno (Mohamad).

“Oleh itu saya bagi pihak rakan-rakan dalam kepimpinan BN dan Umno ingin mengucapkan jentera parti termasuk parti komponen BN iaitu MCA dan di luar komponen seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Pas dan Star,” katanya dalam sidang media di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir di sini, malam tadi.

BN mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis dengan Mohamad menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang dengan majoriti 2,029 hari ini.

Mohamad mendapat 12,706 undi  sementara Karim pula mendapat 10,677.

Dalam pada itu Ahmad Zahid turut menyatakan penghargaan atas sumbangan diberikan bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman dalam kemenangan Mohamad dalam pilihan raya itu. – SabahNewsToday