Pilih Bahasa

Kemenangan tipis memadai, yang penting Sabah dapat tiga mata penuh: Jelius

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Kemenangan tipis 1-0 terhadap Selangor United di Stadium Likas, di sini, semalam sudah cukup memadai bagi Ketua Jurulatih Tambadau Sabah, Jelius Ating.

Beliau akui Sabah mempunyai beberapa peluang baik untuk menambah jaringan namun gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pemain.

Jelius Ating. Gambar Fail SNT

Walaupun demikian menurut Jelius apa yang penting ialah keputusan berpihak kepada skuad Tambadau Sabah untuk memungut tiga mata penuh.

“Memang kita memiliki beberapa peluang baik tetapi bagi saya apa yang penting adalah mengutip tiga mata, tidak kisahlah berapa gol pun.

“Perlawanan malam ini (semalam) juga bukanlah mudah, Selangor United memberi saingan yang sangat sengit namun saya bersyukur kerana kita memenanginya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu, semalam.

Penyerang import, Rodoljub Paunovic menjadi wira apabila gol tunggal perlawanan yang dijaringkannya pada minit keenam sudah cukup untuk memastikan kemenangan Sabah.

Paunovic menolak bola melepasi penjaga gol Selangor United untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan semalam. Gambar SNT/Ihsan Safa

Jelius berkata skuad Tambadau Sabah perlu terus fokus untuk perlawanan akan datang untuk mengumpul seberapa banyak mata yang boleh di pusingan kedua liga.

Keputusan semalam membolehkan Sabah merampas semula kedudukan kedua liga daripada UiTM FC.

“Kedudukan kami ketika ini masih belum selesa dan jika tersilap langkah pasukan lain masih mampu memintas.

“Kami perlu terus bekerja keras untuk memenangi perlawanan seterusnya mencapai sasaran utama musim ini iaitu layak beraksi di Liga Super musim depan,” katanya.

Sabah akan meneruskan saingan liga mereka dengan dua aksi di gelanggang lawan iaitu bertemu UKM FC pada 17 Mei dan Pulau Pinang pada 25 Mei ini.-SabahNewsToday