Pilih Bahasa

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR TETAPKAN ENAM KPI 2019

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur menetapkan enam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2019 sebagai pelan pembangunan kerajaan.

Peter (tengah) mengetuai acara pemotongan kek bersama dengan pengarah-pengarah jabatan dan agensi di bawah kementeriannya. Gambar SNT/Alfred Petrus

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata kementeriannya mensyaratkan KPI tersebut kepada semua jabatan dan agensi di bawah naungannya untuk mengukur dan menilai saranan mahupun gerak kerja yang telah ditetapkan dan diperincikan berdasarkan keutamaan serta keperluan sebenar rakyat negeri Sabah.

“Pertama, mengurangkan masalah air terutamanya peratusan Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water) yang masih tinggi.

“Kedua, kita akan memulakan gerak kerja pembinaan Empangan Papar sebagai salah satu langkah penyelesaian jangka masa panjang terhadap masalah bekalan air di Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya.

Peter (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama penerima-penerima sijil Petunjuk Prestasi Utama (KPI) di bawah kementeriannya. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Ketiga, menjalankan gerak kerja berdasarkan hasil kajian semula struktur model pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo. Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan melaksanakan cadangan pembinaan jalan melibatkan jalinan lebuhraya Pan Borneo dan juga melengkapkan pembinaan beserta kerja naik taraf jalan raya dan lebuh raya yang telah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baru 2019 dan Sambutan Hari Krismas KPI bersama Jabatan serta Agensi di sini pada Jumaat.

Selain itu, kementeriannya juga akan melengkapkan kajian kemungkinan infrastruktur terhadap rancangan pembinaan Pelabuhan Utama di Kudat.

Jelasnya, berdasarkan pemerhatian awal, pelabuhan tersebut dilihat mempunyai potensi untuk berfungsi sebagai pusat perdagangan negara ke Sabah dan dari Sabah ke luar negara.

Peter (kiri) menyampaikan sijil Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Pengarah Jabatan Air Ir Amarjit Singh pada majlis berkenaan. Gambar SNT/Alfred Petrus


Tambahnya, kerajaan juga akan menaiktaraf sistem perkhidmatan keretapi di Sabah.

“Jika dibandingkan dengan perkhidmatan keretapi yang ada di seluruh Malaysia, sistem keretapi di Sabah masih terkebelakang dari segi teknologi dan liputan kawasan.

“Sedangkan perkhidmatan ini mempunyai potensi untuk dijadikan antara kaedah pengangkutan awam pilihan rakyat Sabah.

“Oleh itu, sistem keretapi perlu dinaik taraf dengan teknologi terkini demi keselesaan dan keselamatan penumpang. Kementerian juga akan melaksanakan kajian terperinci untuk memanjangkan jalinan perkhidmatan meliputi kawasan utara dan pantai timur Sabah,” jelasnya.

Selain itu, Peter berkata kementeriannya juga berusaha memastikan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dapat mencapai sasaran 94 peratus bekalan elektrik bagi penduduk luar bandar serta menjamin kualiti pembekalan elektrik di seluruh Sabah melalui pengurangan indeks tempoh masa gangguan sistem (SAIDI) menjelang tahun 2020.

“Keenam-enam KPI utama ini akan dilaksanakan dengan memanfaatkan peruntukan pembangunan yang diagihkan kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur secara berhemah dan memastikan kejayaannya boleh diukur oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau optimis dengan masa depan Sabah dalam pertumbuhan ekonomi yang positif, pesat dan mapan.

Peter percaya dengan keupayaan perkhidmatan awam Sabah mampu meletakkan negeri ini dalam lingkungan negeri paling membangun di Malaysia.

Katanya atas mandat yang diberikan, beliau mahu membawa pembangunan prasarana yang sepadan dengan tuntutan dan keperluan abad ke-21.

“Hanya dengan pembangunan prasarana terbaik sahaja, kualiti kehidupan dan kemajuan negeri Sabah dapat kita tingkatkan.

“Namun, pelan ini hanya akan menjadi kenyataan jika perkhidmatan awam dalam KPI bersama-sama menyambut seruan ini dan melaksanakannya dengan komited.

“Justeru, saya tegaskan di sini bahawa pada tahun ini, akan bermulalah era memodenkan perkhidmatan awam di Kementerian ini kerana azam saya, kakitangan KPI bukan sahaja akan menjadi lebih kompeten, tetapi akan berada dalam kelas yang tersendiri,” katanya

Dalam pada itu, KPI akan melakarkan beberapa dasar penting untuk melonjakkan kebolehsaingan Sabah bersesuaian dengan perubahan zaman dan kemampuan kita dalam merealisasikannya.

Tambahnya perkhidmatan prasarana negeri perlulah menyeluruh dan lancar yang mana tiada kawasan di Sabah akan ketinggalan dan  semua harus mempunyai keterhubungan yang baik dan komprehensif walau di mana dan dalam keadaan apa pun.

Jelasnya ia termasuklah bekalan air bersih kepada masyarakat, menggunakan kaedah sains dan teknologi bagi menyelesaikan masalah prasarana atau jalan raya serta menjalankan projek pembangunan dan infrastruktur dengan menerapkan dasar hijau dan alam sekitar. -SabahNewsToday