Pilih Bahasa

KEMENTERIAN PERTAHANAN SENTIASA BERUSAHA BANTU SELESAI ISU ATM VETERAN

Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Veteran ATM di TH Hotel Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU, 17 Jan (Bernama) — Kementerian Pertahanan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membantu menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong berkata pihak kementerian sentiasa mengadakan perjumpaan dengan veteran ATM untuk memahami dan menyelesaikan sebarang permasalahan yang dihadapi oleh pesara berkenaan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pertahanan Senator Liew Chin Tong ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Bersama Veteran ATM di TH Hotel Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Oleh itu hari ini saya mengadakan lawatan ke Sabah dan mengambil kesempatan mengadakan sesi dialog dengan veteran ATM di negeri ini, bagi mengetahui keperluan serta isu atau permasalahan yang mereka hadapi.

“Lawatan ke Sabah telah lama saya rancang sebelum ini, sekali gus menyangkal dakwaan yang mengatakan kementerian mengabaikan kebajikan veteran ATM sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama veteran ATM Sabah, di sini hari ini.

Mengulas mengenai sesi dialog bersama veteran ATM Sabah, beliau berkata terdapat beberapa isu yang dibangkitkan termasuk isu kebajikan golongan berkenaan.

“Ada beberapa isu yang kita bincangkan termasuk berkaitan prosedur permohanan tanah, menunaikan haji, dan isu pekerjaan khususnya anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang bersara di bawah umur 50 tahun.

“Apabila mendengar isu yang dibincangkan saya mendapati bahawa bukan isu kebajikan yang mereka utamakan. Namun apa yang penting adalah pekerjaan selepas mereka bersara khususnya anggota LLP yang bersara sebelum berusia 50 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata kementeriannya akan mencari jalan untuk membantu para pesara berkenaan mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

“Kerja yang paling sesuai adalah dalam bidang keselamatan. Kementerian mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai bagaimana untuk membolehkan para pesara tentera berkenaan menceburi pekerjaan seperti pengawal keselamatan.

“Kita lihat sekarang banyak pekerja warga asing yang tidak berkemahiran bekerja sebagai pengawal keselamatan dan saya fikir adalah lebih baik kerja berkenaan diisi oleh pesara tentera yang sudah tentu mempunyai pengalaman dan kemahiran,” katanya.

— BERNAMA