Pilih Bahasa

KEMPEN PIALA FA 2019 TAMBADAU SABAH BERMULA DI PUSINGAN KEDUA BULAN DEPAN

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah bertekad untuk melangkah jauh dalam saingan Piala FA musim ini bermula bulan depan.

Tambadau Sabah mendapat ‘bye’ dalam undian perlawanan dan akan memulakan cabaran Piala FA terus di pusingan kedua menentang pasukan dari Divisyen Tiga (Piala FAM), Kelantan United di tempat lawan pada 2 atau 3 April depan.

Pengurus pasukan, Henry Saimpon berkata mereka akan melayan saingan Piala FA  sama penting sebagaimana saingan Liga Premier.

“Kami `ok’ dengan undian perlawanan Piala FA itu dan akan bersedia sepenuhnya untuk capai sejauh mungkin dalam saingan ini.

“Suasana pertandingan ini berbeza berbanding saingan liga kerana ianya dijalankan secara kalah mati. Oleh itu setiap perlawanan kita akan harungi seperti perlawanan akhir,” kata Henry ketika dihubungi di sini, Selasa.

Henry berkata apertemuan dengan Kelantan United itu akan difikirkan selepas masanya tiba kerana mereka kena memberi tumpuan kepada dua perlawanan liga sebelum itu.

“Kami akan fikirkan perlawanan satu persatu sama ada dalam saingan liga atau Piala FA…kami akan sentiasa bersedia untuk sebarang perlawanan dengan fokus menghasilkan kemenangan.

“Kita tidak akan memandang rendah mana-mana lawan termasuklah Kelantan United yang dari Divisyen Tiga tetapi dengan prestasi pasukan yang terus meningkat dalam saingan liga, saya yakin kita mampu lepasi Kelantan United,” katanya.

Sebagai rekod Sabah tersingkir di tangan skuad Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pusingan kedua Piala FA musim lalu.

Sabah merupakan bekas juara Piala FA 1995 iaitu pencapaian terbaiknya dalam saingan itu.

Pencapaian terbaik selepas itu ialah muncul naib juara pada 1998, kalah kepada Pahang. Sabah juga naib juara 1993 dan 1994, kedua-duanya tewas kepada Kuala Lumpur.-SabahNewsToday