Pilih Bahasa

Kempen PRK Dun Rantau bermula

Oleh Chris Maskilone

RANTAU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memulakan kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Rantau dengan melawat pengundi-pengundi sakit di Kampung Sri Lalang, di sini semalam.

Bersama beliau ialah calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Streram Sinnasamy dan Ketua PKR Sabah, Datuk Christina Liew serta timbalannya Datuk John Ghani.

Dr Streram (berdiri) menanyakan sesuatu kepada seorang penduduk (duduk dua dari kanan) yang mengadu bengkak kaki. Turut sama ialah Dr Wan Azizah (tiga dari kiri) dan Liew (dua dari kiri). Gambar SNT/Ihsan PKR Sabah

Dalam ceramahnya, Dr Wan Azizah berkata rakyat di Rantau bakal mendapat mendapat kebaikan sekiranya mereka mengundi Dr Streram sebagai wakil rakyat baharu di sini.

“Beliau adalah seorang anaestesiologis dan sebagai seorang pakar perubatan beliau amat mementingkan rakyat.

“Beliau juga dikenali sebagai Doktor Rakyat dikalangan pengundi dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik di kawasan ini,” katanya.

Dr Wan Azizah (berdiri) memberi ceramah kepada pengundi di Kampung Sri Lalang. Turut kelihatan ialah Liew (dua kanan) dan Dr Streram (empat kanan) serta John (kiri). Gambar SNT/Ihsan PKR Sabah

Dr Wan Azizah menyatakan pemimpin PKR datang dari dekat dan jauh termasuk Sabah diketuai oleh Liew dan John semata-mata untuk menyokong calon parti tersebut.

Menggesa agar para pengundi menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi, Liew berkata ia merupakan peluang kedua bagi Dr Steram setelah beliau dinafikan hak untuk bertanding dalam PRU14 tahun lalu.

Dr Streram tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan semasa Hari Penamaan Calon dengan alasan tidak memiliki pas kebenaran masuk, menyebabkan beliau gagal menghantar borang pencalonan dan penyandang Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan memenangi kerusi Dun Rantau tanpa tanding.

Pilihanraya kecil dibuat setelah Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Pilihanraya membatalkan keputusan pilihanraya Dun Rantau dalam PRU14.

Selain Dr Streram, Mohamad Hasan, yang juga pemangku presiden Umno turut ditentang oleh dua calon Bebas iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin pada 13 April nanti.-SabahNewsToday