Pilih Bahasa

Kemudahan infrastruktur asas rakyat pedalaman ditambahbaik

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Jamawi (empat dari kiri) bersama pegawai pegawai kanan LPBB meninjau pelan pembinaan pekan baharu Kemabong. – Gambar SNT/Ihsan Adun Kemabong

KEMABONG: Kerajaan negeri akan terus mengutamakan penambahbaikan penyediaan infrastruktur asas untuk rakyat terutama di kawasan luar bandar di Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata kerajaan sentiasa mengambil kira akses kepada infrastruktur asas yang merupakan hak asasi semua rakyat tidak kira di mana mereka berada.

Menurut beliau sebagai wakil rakyat yang dipilih amanah tersebut perlu digalas dengan penuh tanggungjawab berkerja untuk rakyat agar kawasan Kemabong tidak ketinggalan dari aspek pembangunan meskipun terletak di kawasan pedalaman .

“Kemudahan infrastruktur jalan raya, perumahan, bekalan elektrik dan air adalah penting untuk kesihatan serta perkembangan sosiobudaya rakyat dan menjadi sebahagian daripada asas utama kesejahteraan ekonomi negara.

“Keutamaan akses kepada infrastruktur asas di kawasan luar bandar membolehkan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, memudahkan aktiviti ekonomi,” katanya.

Jamawi (tiga dari kanan) menziarahi keluarga yang mendapat bantuan rumah di Kampung Angan Angan Kemabong. – Gambar SNT/Ihsan Adun Kemabong

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa buah projek yang bakal dilaksanakan dan telah dilaksanakan  di kawasan Kemabong baru baru ini.

Antara projek yang sedang dan bakal dilaksanakan ialah tapak Pekan Baharu Kemabong, pembinaan  12 pintu kiosk kraftangan termasuk sebuah menara berupa replika “Buyung” di Dataran Kemabong, pembinaan parit kongkrit di Taman Ontoros, tandas awam di Dewan Ontoros/Litar Motorcross/ MX Kemabong.

Selain itu Jamawi juga sempat meninjau kerja kerja menaik taraf jalan masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chinta Mata, ziarah keluarga yang mendapat bantuan rumah di Kampung Angan-Angan Kemabong .

Tambah Jamawi projek naik taraf jalanraya Mukim Ulu Tomani Kemabong dalam tempoh terdekat mula dilaksanakan dan proses tander sudah dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri. – SabahNewsToday