Pilih Bahasa

KEMUDAHAN JALUR LEBAR JANGAN DISALAH GUNA

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

BEAUFORT: Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan kemudahan Internet secara bijak untuk memperoleh maklumat tepat mengenai perkembangan semasa, bukannya mencetuskan perpecahan serta merosakkan keharmonian negara.

Pemimpin Pembangunan Masyarakt (PPM) Klias, Johair Matlani berkata mereka juga perlu memikirkan kesan positif dan negatif hasil penggunaan teknologi maklumat itu sebelum menyebarkan sesuatu maklumat.

Johair (tiga dari kanan) menerima cendera kenangan dari penganjur selepas merasmikan Pusat Internet Kampung Kebidang. – Gambar SNT / Ehsan PPM Klias

Malah, menurut beliau, mereka juga perlu menggunakannya dengan baik agar manfaatnya boleh dikongsi demi kebaikan bersama.

“Masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, seharusnya memanfaatkan kemudahan jalur lebar yang dibekalkan di Pusat Internet Desa,” katanya ketika berucap merasmikan hari terbuka Pusat Internet Kampung Kebidang di sini.

Menurut beliau kerajaan membelanjakan peruntukan tinggi bagi menyediakan kemudahan jalur lebar sehingga menembusi kawasan luar bandar supaya rakyat celik teknologi maklumat (IT) untuk kebaikan bersama.

Johair yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti  Warisan Sabah (Warisan) memberitahu berita itu dianggap masih baharu jika dilaporkan dalam tempoh 24 jam, namun dengan kepesatan teknologi, berita-berita berkenaan dilihat ketinggalan.

“Tidak semua maklumat yang dipaparkan dalam sesuatu laman web itu terutamanya media sosial seperti Facebook benar dan berniat baik kerana ada juga bersifat provokasi serta fitnah terutama dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan politik mereka,” tambah Johair

Sehubungan itu beliau meminta rakyat agar menggunakan media rasmi kerajaan bagi memperolehi maklumat yang tepat dan terkini.

Mengulas program tersebut Johair berkata ia merupakan platform terbaik bagi rakyat dapat berkongsi maklumat dan aktiviti yang ada di Pusat Internet Desa yang disediakan oleh kerajaan. – SabahNewsToday