Pilih Bahasa

Keningau bolot dua emas boling padang

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KENINGAU: Tuan rumah Keningau menguasai acara boling padang Sukan Sabah (Saga) IX apabila meraih dua emas dalam empat acara akhir yang dipertandingkan di Kompleks Sukan Keningau di sini petang tadi.

Dua emas tersebut diperolehi dalam kategori Individu Lelaki dan Berpasangan Wanita menerusi atlet mereka iaitu Edver Rivaldee Holiday serta Farenna Raflesia Fredolin dan Alvy Alfera Justine.

Pasukan Keningau meraikan kemenangan mereka membolot dua emas dalam acara boling padang Saga IX. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

Dalam pertandingan itu Edver menewaskan atlet Papar, Muhammad Hafes Firdaus Affendy manakala gangsa menjadi milik atlet Tenom dan Nabawan iaitu Mohamad Shah Ridzuan Manis dan Abdul Manaf Saujor.

Sementara itu perak dalam acara Berpasangan Wanita diraih Dayangku Haslyn Suraya Awang Husin dan Norcahaya dari Papar manakala atlet Sandakan (Nurnajmi Jannah Jali/Nurariqah Nazhah Alham) dan Tawau (Juliana Abbas/Siti Nor Eddlyn Abdul) meraih gangsa dalam acara itu.

Antara aksi atlet boling padang dalam perlawanan akhir di gelanggang boling padang Kompleks Sukan Keningau. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Bagi kategori Fours Lelaki, kuartet Muhammad Afif Aiman Affendy, Jerson Juslin, Hilary Gustin dan Feraw Feloree Maikal dari Papar memenangi emas dalam acara itu yang menewaskan Keningau yang diwakili Elddy Maxlanzie Zosmi, Darren Davy, Alvandino Antoni dan Noel Archlesunyylee Fred.

Kedudukan gangsa masing-masing diraih oleh pasukan Tenom dan Kota Belud.

Aksi emas Edver Rivaldee yang menyumbangkan kilauan pingat kepada pasukan Keningau dalam acara akhir boling padang Individu Lelaki. – Gambar SNT/Ihsan Penerangan

Dalam pada itu Kota Belud pula meraih emas kategori Triples Wanita menerusi Nurul Hafizah Abdul Hanafi, Aleeya Adrianan Ade Azlhan dan Nur Zafirah Wajihah Zaidi.

Mereka menundukkan wakil Sandakan yang meraih perak iaitu Nuramirah Jasmin Jali, Najwatul Fadilah Jonaidi dan Siti Nurafifah Balqis Juhaimie.

Pasukan tuan rumah, Keningau dan Kota Kinabalu terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Arunarasih Taib. – SabahNewsToday