Pilih Bahasa

KENINGAU MENANG BERGAYA, DINOBAT JUARA HOKI WANITA MSSS

Oleh Alfred Petrus

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Gani Senang (belakang tengah) merakamkan gambar kenangan bersama kontinjen Keningau. -Gambar NST/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kontinjen Hoki Perempuan 18 tahun Ke Bawah Keningau muncul juara Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-sekolah Sabah (MSSS) selepas menewaskan Kudat 4-0 dalam perlawanan akhir petang tadi.

Perlawanan akhir itu diadakan di Padang Disoturf Hoki Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) di sini.

Dalam perlawanan itu Ajurah Kauaran dan Flovenia Silverius menjadi wira Keningau apabila menjadi penjaring bagi pasukan mereka.

Gol pertama Keningau dijaringkan menerusi pukulan kencang Ajurah pada minit ke-11 untuk menewaskan penjaga gol pasukan lawan.

Aksi separuh masa pertama perlawanan memperlihatkan kedua-dua pasukan berusaha mempertahankan gawang selain cuma menambahkan jaringan.

Memasuki babak kedua, pemain Keningau terus mengasak pertahanan Kudat dan hasilnya Flovenia Silverius berjaya menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-25 untuk menjadikan kedudukan 2-0 buat Keningau.

Kudat cuba bangkit bangkit dengan memperkemaskan lagi serangan namun masih buntu untuk menghasilkan sebarang jaringan.

Enggan mengulangi kekalahan sama kontinjen lelaki mereka pada perlawanan akhir minggu lalu, pemain Keningau terus menambah duka pasukan Kudat apabila menjaringkan gol ketiga menerusi Ajurah.

Kemenangan bergaya Keningau disahkan oleh Flovenia apabila menyumbat gol keempat buat pasukan itu.

Sementara itu, tempat ketiga kejohanan itu diraih kontinjen Kota Kinabalu yang mengalahkan pasukan Tenom dengan tiga gol tanpa balas. – SabahNewsToday