Pilih Bahasa

Keningau tekad pertahan kejuaraan Liga Bola Sepak KDMM

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Skuad KDM Keningau yang beraksi dalam Liga KDMM musim ini. – Gambar SNT / Ehsan Liga KDMM

KOTA KINABALU: Pasukan KDM Keningau bertekad pertahankan kejuaraan Liga Bola Sepak Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM) 2018-2019.

Keningau yang juga juara edisi sulung Liga KDMM 2014-2015 mahu memperlihatkan tekadnya itu seawal perlawanan Piala Sumbangsih menentang KDM Papar (juara Piala FA 2014-2015)  di Stadium Keningau pada Sabtu ini.

Pengurus pasukan, Jackson Taguah berkata selain mengekalkan hampir 80 peratus pemain yang menjulang kejuaraan pada edisi pertama lalu, pasukan itu juga membawa masuk beberapa pemain bagi memperkuatkan pasukan.

“Kita membawa masuk bekas penyerang Sabah dan Melaka United, Rexjeson Pitirus dan bekas pemain Piala Presiden Sabah, Dixy Mildy Juanis,” katanya.

Keningau turut mengekalkan Ketua Jurulatihnya iaitu [email protected] Apin yang juga penolong jurulatih Piala Belia Sabah musim 2018 dan dibantu Uszaime Abdullah dan Dante S. Tipay.

Menenai khabar angin bahawa Keningau bakal diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain senior Sabah yang baru menamatkan kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA), Jackson enggan mendedahkan nama pemain itu.

Beliau berkata Keningau sudah bersedia sepenuhnya dan akan berjuang habis-habisan menghadapi cabaran Papar pada perlawanan Piala Sumbangsih.

Ujarnya pasukan itu menjalani latihan intensif sejak minggu lalu di samping mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan di daerah Pedalaman

“Saya yakin pemain kami sudah bersedia menghadapi Papar dan beraksi di halaman sendiru memberikan kami kelebihan.

“Kami mengalu-alukan peminat bola sepak pedalaman terutama di Keningau agar datang beramai-ramai memberi sokongan kepada pasukan,” katanya. – SabahNewsToday