Pilih Bahasa

Kenyataan itu fitnah: Ahli Parlimen Putatan

KOTA KINABALU: Satu posting di laman sosial mendakwa Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Datuk Sahari berkata pemegang IMM13 atau pendatang tanpa izin yang terkahwin dengan orang tempatan layak memohon rumah di PPR Taman Sri Serigai adalah fitnah.

Awang Husaini berkata status yang dimuatnaik di Facebook oleh pemilik akaun Negara Borneo Utara adalah fitnah dan beliau telahpun membuat laporan polis sebaik ianya timbul pada bulan Mac lalu.

Awang Husaini menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat pada 22 Mac lalu. Gambar SNT

“Posting tersebut merupakan cerita lapuk namun nampaknya dikitar semula dalam media sosial,” katanya ketika ditanya mengenai isu tersebut.

Menurut beliau, ketika posting tersebut mula-mula keluar beliau telah meminta setiausaha Kisni Suimin bagi pihaknya untuk membuat laporan polis di balai Penampang.

“Saya menafikan ada membuat kenyataan tersebut dan juga memohon agar polis menyiasat perkara itu,” katanya.

Awang Husaini menerangkan tiga keping gambar yang dimuatnaik dalam posting itu ialah gambat beliau bertemu dengan Pengarah Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional Sabah, Delin Liet Anak Blaun untuk berbincang mengenai program jabatan di kawasannya.

Posting yang dimuatnaik oleh pemilik akaun FB Negara Borneo Utara telah dilaporkan kepada polis sebagai fitnah dan harus disiasat, kata Awang Husaini. Gambar SNT/Sumber media sosial

Awang Husaini yang juga Naib Ketua II PKR Sabah juga diberitahu bahawa pemilik akaun yang membuat dakwaan palsu itu terkenal dengan membuat kritikan dan dakwaan palsu terhadap pemimpin Sabah lain seperti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Ditanya mengenai siasatan polis, beliau berkata ianya masih dalam siasatan.-SabahNewsToday